Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taiwan tuduh Beijing adakan simulasi ceroboh pulau itu

Anggaran Waktu Membaca:
Taiwan tuduh Beijing adakan simulasi ceroboh pulau itu

(Gambar: CCTV/AFP)

Diterbitkan : 06 Aug 2022 07:19PM Dikemas Kini : 06 Aug 2022 07:19PM

TAIPEI: Taiwan menuduh tentera China mengadakan simulasi serangan  ke atas pulau tersebut pada Sabtu (6 Ogos), sedang Beijing meneruskan tindak balasnya terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan. 

Hubungan antara dua kuasa besar itu semakin tegang susuli lawatan Cik Pelosi ke jiran China itu - yang dituntut Beijing sebagai wilayahnya - mencetuskan gesaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengendurkan ketegangan itu. 

Beijing meneruskan latihan ketenteraan yang terbesarnya sekitar Taiwan pada Sabtu, latihan mengepung dan akhirnya pencerobohan ke atas pulau itu, menurut  penyelidik. 

Taipei menyatakan ia menyaksikan "beberapa kumpulan" pesawat dan kapal China  beroperasi di Selat Taiwan, sebilangannya merentas garis pemisah yang membahagikan selat itu, yang tidak diiktiraf Beijing. 

"Mereka dilihat seakan menjalankan simulasi serangan ke atas pulau besar Taiwan," menurutnya. 

Tentera pulau demokratik itu mengerahkan rondaan udara dan darat serta sistem peluru berpandu di darat dalam tindak balasnya, menurut kementerian pertahanan menerusi Twitter. 

Setiausaha Negara AS Antony Blinken, semasa pertemuannya dengan rakan sejawatan beliau dari Filipina pada Sabtu (6 Ogos), berkata Washington "bertekad untuk bertindak dengan bertanggungjawab" bagi mengelak sebarang krisis besar sejagat. 

Beijing menegaskan  ia akan menarik diri daripada siri rundingan dan perjanjian bekerjasama dengan Washington - terutama sekali mengenai perubahan iklim dan kerjasama pertahanan. 

Namun Encik Blinken berkata China tidak seharusnya menggunakan rundingan mengenai isu-isu keprihatinan masyarakat antarabangsa untuk  menghukum AS, kerana ia "menjejas seluruh dunia". 

Dalam usaha  menunjukkan betapa dekatnya tentera China dengan pantai Taiwan, tentera Beijing semalam mengeluarkan video seorang juruterbang pasukan tentera udara yang merakam garis laut dan kawasan pergunungan daripada kokpitnya. 

Tentera Komando Timur China mengongsi gambar kapal perang yang sedang meronda lautan sekitar Taiwan yang menampakkan garis laut secara terang-terangan. 

Tentera Taiwan pada Sabtu (6 Ogos) turut mengeluarkan beberapa gambar salah sebuah kapal perangnya yang sedang memantau kapal China yang berdekatan, dan anggota tentera menghidupkan sistem peluru berpandu berpangkalan di darat. 

Latihan ketenteraan  itu juga menyaksikan Beijing melancarkan peluru berpandu balistik ke arah ibu kota Taiwan, menurut media  China. 

Beijing menyatakan ia juga akan melancarkan latihan tembakan menggunakan peluru hidup di bahagian selatan Laut Kuning - terletak di antara semenanjung China dan Korea - mulai Sabtu (6 Ogos) hingga 15 Ogos. 

Taiwan terus bersikap ingkar, menegaskan ia tidak tergugat oleh "jiran jahatnya". 

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa