Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taiwan siasat TikTok; disyaki kendali operasi haram

Anggaran Waktu Membaca:
TAIPEI: Pemerintah Taiwan melancarkan siasatan terhadap platform media sosial milik China, TikTok, kerana disyaki mengendalikan anak syarikat itu secara haram di pulau berkenaan.

Taiwan turut memberikan amaran bahawa platform media sosial itu digunakan oleh Beijing untuk menyebarkan maklumat yang salah.

TikTok yang tidak digunakan secara meluas di Taiwan, semakin tertekan terutama sekali di Amerika Syarikat (AS) kerana bimbang China akan menggunakan wadah itu untuk mengakses data peribadi para pengguna, yang dinafikan oleh syarikat tersebut.

Dalam kenyataannya pada lewat Ahad (18 Dis), Majlis Ehwal Tanah Besar menyatakan pada 9 Disember bahawa sebuah kumpulan kerja di bawah Kabinet mendapati TikTok mengendalikan "operasi komersil haram" di Taiwan.

Akhbar Taiwan, Liberty Times melaporkan bahawa pemilik TikTok, ByteDance, menubuhkan sebuah anak syarikat di pulau itu untuk memikat pelanggan dan memancing perniagaan dan pada masa yang sama, melanggar undang-undang Taiwan yang tidak membenarkan sebarang platform media sosial dari China beroperasi di pulau tersebut.

Majlis Ehwal Tanah Besar turut memaklumkan bahawa kumpulan kerja kabinet mengesan pelanggaran undang-undang dan penguasa undang-undang pulau tersebut sedang menjalankan siasatan.

Taiwan melarang pelbagai operasi perniagaan China di pulau itu seperti platform media sosial dan industri pembuatan cip yang bernilai tinggi.

Taiwan turut melarang jabatan pemerintah daripada menggunakan aplikasi buatan China seperti TikTok, menurut majlis itu.

Taiwan sejak sekian lama mengadu bahawa China menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat yang salah di pulau berkenaan yang dituntut Beijing sebagai wilayahnya.

Pada 2019, Taiwan meluluskan undang-undang antipenyusupan sebagai sebahagian daripada usaha selama bertahun-tahun untuk memerangi apa yang disifatkan oleh Taiwan sebagai usaha China untuk mempengaruhi politik dan proses demokratik di Taiwan melalui pembiayaan dana haram kepada para ahli politik, media dan kaedah lain.
 
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan