Skip to main content

Dunia

Taiwan pantau perubahan 'luar biasa' kepimpinan tentera China setelah jeneral kanan disiasat

Anggaran Waktu Membaca:
Taiwan pantau perubahan 'luar biasa' kepimpinan tentera China setelah jeneral kanan disiasat
Zhang Youxia, timbalan pengerusi CMC yang memegang jawatan tertinggi, menghadiri majlis perasmian Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada 4 Mac 2025.
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 26 Jan 2026 05:34PM
TAIPEI: Taiwan sedang memantau apa yang ia sifatkan sebagai perubahan "luar biasa" terhadap kepimpinan tentera China setelah jeneral kanannya disiasat, dan tidak akan berhenti berwaspada kerana tahap ancaman masih tinggi, kata menteri pertahanan Taiwan pada Isnin (26 Jan).

China mengumumkan pada Sabtu bahawa Zhang Youxia, jeneral kanan tentera di bawah Presiden Xi Jinping sebagai timbalan pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat, dan seorang lagi pegawai kanan, Liu Zhenli, disiasat kerana disyaki melakukan pelanggaran disiplin dan undang-undang yang serius.

"Kami akan terus memantau dengan teliti perubahan luar biasa dalam kalangan pimpinan tertinggi parti China, pemerintah dan kepimpinan tentera.

"Kedudukan tentera berdasarkan fakta bahawa China tidak pernah mengabaikan penggunaan kekerasan terhadap Taiwan," kata Menteri Pertahanan Taiwan, Wellington Koo kepada wartawan di parlimen.

Encik Zhang sudah lama dianggap sebagai sekutu tentera paling rapat Xi, dan beliau merupakan salah seorang pegawai kanan China yang mempunyai pengalaman bertempur setelah mengambil bahagian dalam konflik sempadan 1979 dengan Vietnam.

China yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya sendiri, mengerahkan jet pejuang dan kapal perang ke ruang udara dan kawasan perairan di sekitar pulau itu hampir setiap hari, dalam apa yang dilihat oleh Taipei sebagai kempen gangguan untuk memaksa pemerintahnya menerima tuntutan kedaulatan Beijing.

Encik Koo berkata apa yang sedang ditelitikan oleh kementerian itu bukan sebarang "rombakan kepimpinan tunggal yang cukup untuk membuat kesimpulan".

Taiwan akan menggunakan pelbagai kaedah risikan, pengawasan dan pengintipan bersama serta perkongsian maklumat, untuk cuba "mengetahui" hasrat sebenar China, katanya.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita