Skip to main content

Dunia

Taiwan mulakan penghasilan besar-besaran peluru berpandu jarak jauh

Taiwan sudah memulakan penghasilan besar-besaran peluru berpandu jarak jauh dan sedang membangunkan tiga model lain, kata seorang pegawai kanan pada Khamis (25 Mar), dalam pengakuan yang jarang dibuat mengenai usaha membangunkan keupayaan serangan di tengah-tengah tekanan China yang meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Taiwan mulakan penghasilan besar-besaran peluru berpandu jarak jauh

(Gambar: REUTERS/Ann Wang)

Diterbitkan : 25 Mar 2021 03:48PM Dikemas Kini : 25 Mar 2021 03:52PM

TAIPEI: Taiwan sudah memulakan penghasilan besar-besaran peluru berpandu jarak jauh dan sedang membangunkan tiga model lain, kata seorang pegawai kanan pada Khamis (25 Mar), dalam pengakuan yang jarang dibuat mengenai usaha membangunkan keupayaan serangan di tengah-tengah tekanan China yang meningkat.

China, yang menuntut Taiwan sebagai wilayahnya, meningkatkan kegiatan tentera berdekatan pulau itu, sedang ia berusaha memaksa pemerintah di Taipei untuk menerima tuntutan kuasa Beijing.

Angkatan tentera Taiwan, yang lebih kecil berbanding China, sedang melalui proses pemodenan untuk menawarkan pencegahan yang lebih berkesan, termasuk keupayaan untuk membalas serangan dari pangkalan-pangkalan di China sekiranya konflik berlaku.

Menjawab pertanyaan para anggota parlimen, Menteri Pertahanan Taiwan Chiu Kuo-cheng berkata membangunkan keupayaan serangan jarak jauh adalah satu keutamaan.

Berdiri di sebelah Menteri Chiu, timbalan pengarah Institut Nasional Chung-San bagi Sains dan Teknologi, Leng Chin-hsu berkata satu peluru berpandu jarak jauh darat sudah pun mula dihasilkan, dengan tiga peluru berpandu jarak jauh yang lain sedang dibangunkan.

Encik Leng berkata "tidak sesuai" untuk beliau memberi butir-butir tentang jarak jangkauan peluru berpandu itu.

Institut tersebut, yang menerajui usaha pembangunan senjata Taiwan, sejak beberapa bulan ini menjalankan beberapa ujian peluru berpandu dekat pesisir tenggara pulau itu.

Media di Taiwan menerbitkan gambar-gambar pelancaran peluru berpandu dan arahan telah diberikan kepada pesawat untuk menjauhi kawasan ujian, namun selain itu tidak banyak yang diketahui tentang ujian tersebut.

Angkatan tentera Taiwan secara tradisi menumpukan kepada pertahanan pulau itu daripada serangan China.

Namun Presiden Tsai Ing-wen menekankan pentingnya membangunkan pencegahan "tidak selaras", menggunakan peralatan mudah alih yang sukar dikesan dan dimusnahkan, dan berupaya mencapai sasaran yang jauh dari pesisir Taiwan.

Amerika Syarikat, pembekal senjata asing utama Taipei, bertekad untuk mewujudkan perseimbangan ketenteraan kepada kuasa China, dalam usaha yang dikenali di Pentagon sebagai "Benteng Taiwan".

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita