Skip to main content

Dunia

Taiwan desak Washington teruskan jualan senjata selepas Trump kata beliau belum buat keputusan berhubung jualan baharu

Pemerintah Taiwan pada Sabtu (16 Mei) mendesak supaya kiriman bekalan senjata daripada Amerika Syarikat diteruskan, dengan menyatakan bahawa perkara tersebut berasaskan undang-undang Amerika dan berfungsi sebagai langkah pencegahan bersama terhadap ancaman serantau.

Anggaran Waktu Membaca:
Taiwan desak Washington teruskan jualan senjata selepas Trump kata beliau belum buat keputusan berhubung jualan baharu

Sebuah jet pejuang F-16 berlepas semasa latihan ketenteraan tahunan menjelang Tahun Baharu Cina di Chiayi, Taiwan, pada 28 Januari 2026. (Gambar fail: REUTERS/Ann Wang)

Diterbitkan : 16 May 2026 04:43PM
TAIPEI: Pemerintah Taiwan pada Sabtu (16 Mei) mendesak supaya kiriman bekalan senjata daripada Amerika Syarikat diteruskan, dengan menyatakan bahawa perkara tersebut berasaskan undang-undang Amerika dan berfungsi sebagai langkah pencegahan bersama terhadap ancaman serantau.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau belum memutuskan sama ada akan meneruskan penjualan senjata kepada Taiwan pada masa depan.

Walaupun kedua-dua pihak tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, Amerika Syarikat merupakan penyokong utama Taiwan, yang diperintah secara demokratik tetapi dituntut China sebagai wilayahnya.

Washington juga terikat dengan Akta Hubungan Taiwan untuk membekalkan senjata kepada pulau tersebut.

Namun, pada Jumaat, selepas sidang puncak bersama Presiden China Xi Jinping di Beijing, Encik Trump berkata beliau belum memutuskan sama ada akan meneruskan penjualan senjata berskala besar kepada Taiwan.

Perkara itu menimbulkan ketidaktentuan berhubung sokongan Amerika Syarikat bagi Taiwan.

AKTA HUBUNGAN TAIWAN

Dalam satu kenyataan, jurucakap Presiden Taiwan Lai Ching-te, Karen Kuo berkata ancaman ketenteraan China yang semakin meningkat merupakan “satu-satunya faktor yang menggugat kestabilan” di rantau Indo-Pasifik, termasuk Selat Taiwan.

“Tambahan pula, penjualan senjata antara Taiwan dengan Amerika Syarikat bukan sahaja mencerminkan komitmen keselamatan Amerika kepada Taiwan seperti yang termaktub dalam Akta Hubungan Taiwan. Malah, ia berfungsi sebagai pencegahan bersama terhadap ancaman serantau,” kata beliau.

Taiwan berterima kasih kepada Encik Trump atas sokongan berterusan beliau terhadap keselamatan di Selat Taiwan dan Taipei akan terus memperkukuh kerjasama dengan Washington, tambah Cik Kuo.

Pada Disember lalu, pentadbiran Encik Trump meluluskan pakej penjualan senjata bernilai AS$11 bilion (S$14.09 bilion) kepada Taiwan, jumlah terbesar yang pernah dicatatkan.

Terdahulu, Reuters turut melaporkan, satu lagi pakej bernilai sekitar AS$14 bilion (S$17.93 bilion) masih menantikan kelulusan Encik Trump.

Bercakap kepada para wartawan di Taipei pada Sabtu, Timbalan Menteri Luar Taiwan Chen Ming-chi enggan mengulas berhubung pakej kedua itu kerana ia masih belum diumumkan secara rasmi.

Beliau berkata Taiwan akan terus berhubung dengan Amerika Syarikat untuk memahami perkara itu dari sudut pandangan Washington.

Pemerintah Taiwan berdepan kesukaran untuk meluluskan tambahan perbelanjaan pertahanan sebanyak AS$40 bilion (S$51.23 bilion) akibat tentangan daripada pihak pembangkang yang menguasai parlimen.

Awal bulan ini, parlimen Taiwan meluluskan dua pertiga daripada jumlah yang diminta pemerintah, tetapi menetapkan bahawa jumlah tersebut dikhususkan bagi pembelian senjata Amerika.

Para penggubal undang-undang dari Parti Republican dan Democrat di Amerika turut menggesa pentadbiran Encik Trump agar meneruskan penjualan senjata tersebut.

Naib Presiden badan pemikir Institut Penyelidikan Dasar Taiwan, Kuo Yu-ren berkata Encik Trump mungkin menangguhkan kelulusan pakej baharu itu sehingga selepas akhir September, apabila beliau menjemput Encik Xi untuk melakukan lawatan ke Amerika.

Dalam ulasannya kepada para wartawan selepas sidang puncak bersama Encik Xi, Encik Trump juga memberi bayangan bahawa beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Lai mengenai penjualan tersebut.

“Saya perlu bercakap dengan individu ... yang mentadbir Taiwan,” kata Encik Trump.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan itu, Timbalan Menteri Luar Chen berkata Taiwan masih perlu memahami “niat sebenar” di sebalik kenyataan Encik Trump itu.

Walaupun kenyataan jurucakap Kuo tidak menyebut sama ada Presiden Lai dan Encik Trump akan mengadakan perbincangan, seorang pegawai kanan keselamatan Taiwan berkata maksud kenyataan Encik Trump itu “cukup jelas”.

“Pihak yang perlu berbincang tentang penjualan senjata ialah Taiwan, bukan Beijing,” kata pegawai itu yang enggan dikenal pasti memandangkan isu itu amat sensitif.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita