Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tahun 2023 penuh liku; M'sia perlu kerajaan stabil, kata Annuar Musa

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa menyifatkan 2023 sebagai tahun bukan 'biasa-biasa', sebaliknya penuh dengan cabaran hebat. Justeru, kerajaan yang benar-benar stabil diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terbela.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Tahun 2023 penuh liku; M'sia perlu kerajaan stabil, kata Annuar Musa

(Gambar: Fadza Ishak/CNA)

Diterbitkan : 12 Nov 2022 12:30PM Dikemas Kini : 12 Nov 2022 12:40PM
KUALA TERENGGANU: Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa menyifatkan 2023 sebagai tahun bukan 'biasa-biasa', sebaliknya penuh dengan cabaran hebat. Justeru, kerajaan yang benar-benar stabil diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terbela.

Beliau berkata cabaran buat Ahli-ahli Parlimen yang bakal dipilih di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sangat besar. Ini kerana kerajaan baru dibentuk berada dalam situasi ekonomi dunia sangat mencabar.

"Sebagai orang berpengalaman dalam kerajaan, terasa sekali cabaran mereka berada di Parlimen dan orang yang akan membentuk kerajaan.

"Sebab mereka akan membentuk kerajaan dalam keadaan kebanyakan negara mengalami defisit besar kerana dilanda pandemik COVID-19, (berlaku) perbelanjaan luar jangka yang tiada dalam belanjawan," katanya kepada wartawan selepas program bersama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Terengganu Rozi Mamat di Pulau Bahagia di Kuala Terengganu pada Jumaat malam (11 Nov).

Encik Annuar berkata kerajaan yang akan datang perlu menguruskan isu-isu penting antaranya, ekonomi, kestabilan politik serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Encik Annuar, yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, berkata sekiranya kerajaan dibentuk tidak mempunyai keupayaan dan pengalaman, maka pentadbiran negara akan mengalami situasi sepertimana selepas PRU14 dan itu sangat merugikan rakyat.

"Saya rasa hanya BN dapat menawarkan kestabilan dan kemakmuran berdasarkan pengalaman yang ada jauh melebihi parti-parti lain. BN ada pakej lengkap untuk membawa kestabilan dan kesejahteraan...kita dah buktikan walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pegang sekejap, prestasi baik daripada (kerajaan) 16 dan 22 bulan," ujarnya.

Selain itu, Encik Annuar turut mengingatkan jentera BN supaya melipatgandakan usaha dalam baki tempoh berkempen ini dan tidak mengambil mudah saingan daripada semua parti kerana pilihan raya kali ini berdepan dengan pelbagai cabaran baru.

"Kita berdepan banyak faktor tiada sebelum ini. Antaranya, jumlah pengundi muda yang cukup ramai, rakyat melalui episod tiga kerajaan dan rakyat akan membuat penilaian dan masalah-masalah dalam UMNO sendiri yang perlu diuruskan," katanya.

Beliau menambah semua pihak tidak boleh terlalu yakin kerana semua parti berupaya memberi saingan yang sengit.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan