Tahukah anda, 24 pengawal dipilih khas jaga Hajar Aswad!
Para pegawai keselamatan memberitahu Al-Arabiya bahawa 24 pengawal yang melindungi batu itu dipilih berdasarkan senarai kriteria tertentu.
Jemaah haji di Kaabah, Makkah. (Gambar: AFP/STR)
MAKKAH: Setiap tahun, jutaan jemaah mengunjungi Makkah untuk menunaikan ibadah Haji atau Umrah. Para jemaah juga lazimnya sangat mengharapkan agar mereka dapat menembusi keadaan penuh sesak itu untuk mencium atau menyentuh Hajar Aswad.
Di hadapan Hajar Aswad itu, terdapat seorang pengawal yang memantau dan membantu para jemaah yang ingin menyentuh batu tersebut.
Setiap jam, seorang pengawal baru akan mengambil tanggungjawab menjaga Hajar Aswad dan memastikan keselamatan para jemaah.
Para pegawai keselamatan memberitahu Al-Arabiya bahawa 24 pengawal yang melindungi batu itu dipilih berdasarkan senarai kriteria tertentu. Mereka perlu memastikan yang mereka sesuai untuk menjalankan tugas itu, seperti mempunyai kesihatan badan yang baik dan mampu bertahan cuaca yang panas terik.
Para pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjidil Haram membersihkan kawasan itu selepas setiap waktu solat dengan sabun, air mawar, Oud, dan pembersih udara khas.
Meskipun kebanyakan orang menyangka bahawa Hajar Aswad adalah sebuah batu yang lengkap, ia sebenarnya terdiri daripada lapan batu kecil, yang terbesar adalah batu sebesar biji kurma.
Hajar Aswad terletak di sudut timur Kaabah dan kedudukannya sekitar satu setengah meter dari tanah. Ia dikelilingi oleh bingkai perak yang diikat oleh paku perak pada dinding luar Kaabah.
Tapak Hajar Aswad tersebut menandakan permulaan dan penghujung setiap tawaf di sekitar Kaabah, sambil para jemaah sering melambai atau cuba menyentuh batu itu dengan setiap pusingan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.