Tahap rasuah membimbangkan tapi 'belum lagi satu pandemik', tegas ketua SPRM
Rasuah di Malaysia berada di tahap yang membimbangkan namun keadaan belum mencapai tahap pandemik, kata ketua antirasuah negara itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
KUALA LUMPUR: Rasuah di Malaysia berada di tahap yang membimbangkan namun keadaan belum mencapai tahap pandemik, kata ketua antirasuah negara itu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata demikian semasa menjawab pertanyaan dalam wawancaranya bersama TVAlhijrah pada Rabu (14 April) mengenai sama ada peningkatan jumlah penahanan dan pendedahan menggambarkan betapa parahnya keadaan rasuah di negara itu.
"Kita tidak boleh mengatakan bahawa ia sangat buruk. Tetapi saya boleh katakan, sebagai seseorang yang memerangi rasuah sejak sekian lama, ia adalah tahap yang membimbangkan saya secara peribadi. Tetapi ia belum mencapai tahap pandemik,” katanya.
"Mungkin masyarakat berasa keadaan telah menjadi serius dan ia adalah pandemik, tetapi jika kita melihatnya dari sudut lain, kesedaran masyarakat telah menyumbang kepada pendedahan banyak isu sekarang."
Beliau menambah: "Sekiranya tidak ada maklumat dari masyarakat, dan kemajuan teknologi sekarang (yang menyumbang kepada) banyak masalah rasuah yang timbul, terutama yang melibatkan pihak berkuasa atau penjawat awam, isu-isu ini tidak akan didedahkan."
Encik Azam dilantik untuk menyandang jawatan itu pada Mac tahun lalu, setelah Cik Latheefa Koya meletak jawatan sejurus setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang. Encik Azam mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam badan antirasuah itu.
Semasa wawancara pada Rabu, Encik Azam juga menegaskan bahawa tidak ada campur tangan politik dalam kes rasuah berprofil tinggi yang disiasat oleh SPRM.
"Sejak saya menjadi ketua, tidak ada. Saya dapat memberi jaminan bahawa tidak ada gangguan, tidak ada arahan yang diberikan kepada saya."
"Tapi saya tidak nafikan terdapat soalan. Adalah tidak logik bagi saya untuk mengatakan tiada pertanyaan langsung. Saya selalu berinteraksi dengan para menteri atau ahli politik lain, mereka bertanya (mengenai kes).
"Tapi saya memberi jaminan di sini bahawa pertanyaan mereka tidak akan mempengaruhi keputusan siasatan," tegasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.