Tahap amaran COVID-19 dinaikkan di Thailand susuli penularan Omicron
(Gambar: Lillian SUWANRUMPHA/AFP)
BANGKOK: Thailand pada Khamis (6 Jan) menaikkan tahap amaran COVID-19 di negara itu selepas jumlah kes jangkitan COVID-19 yang disebabkan oleh penularan varian Omicron terus meningkat di negara tersebut, menurut seorang pegawai kanan kesihatan.
Perubahan dari Tahap 3 ke Tahap 4 turut mencerminkan langkah-langkah lebih ketat yang mungkin akan dilaksanakan seperti menutup kawasan-kawasan berisiko tinggi dan menguatkuasakan sekatan ke atas perjalanan domestik atau perhimpunan awam.
"Thailand sudah memasuki gelombang baru jangkitan, di mana jumlah kes baru akan meningkat dengan pantas," kata Kiattiphum Wongrajit, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan.
"Tahap 4 bermakna kita mungkin akan menutup tempat-tempat berisiko tinggi dan mengumumkan lebih banyak langkah keselamatan yang lain."
Tindakan tersebut diambil selepas jumlah kes harian meningkat dengan mendadak sejak awal tahun ini.
Thailand sudah melaporkan 5,775 kes baru pada Khamis (6 Jan), meningkat 48 peratus berbanding hari sebelumnya dan hampir seganda jumlah jangkitan yang dilaporkan pada 1 Jan.
69.1 peratus daripada sekitar 72 juta penduduk Thailand sudahpun lengkap divaksin tetapi hanya 10.9 peratus sudah mendapatkan suntikan dos penggalak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.