Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tahanan Palestin henti mogok lapar selepas dijamin bebas dari penjara

Anggaran Waktu Membaca:
Tahanan Palestin henti mogok lapar selepas  dijamin bebas dari penjara

Petikan gambar dari video Palestine Online yang menunjukkan keadaan terkini Khalil Awawdeh. (Gambar: Palestine Online/Facebook)

Diterbitkan : 01 Sep 2022 10:37AM Dikemas Kini : 01 Sep 2022 10:37AM
BAITULMAKDIS: Seorang tahanan Palestin, Khalil Awawdeh, menghentikan mogok lapar lebih 160 hari pada Rabu (31 Ogos) setelah Israel bersetuju untuk membebaskannya pada Oktober, kata peguam beliau.

Awadeh, 40 tahun, melakukan mogok lapar selepas dia ditahan Israel pada Disember 2021 tanpa sebab dan tidak dibicarakan iaitu satu amalan yang dikenali sebagai penahanan tadbir urus.

Sehingga dia dibebaskan pada 2 Oktober nanti, Awadeh akan terus dirawat di hospital, kata peguamnya, Ahlam Haddad, kepada Reuters.

Encik Ahlam berkata Awawdeh bertahan hidup hanya dengan minum air selama berbulan-bulan dan memberi amaran pada minggu lalu bahawa dia boleh "meninggal dunia pada bila-bila masa" disebabkan kesihatannya yang memburuk.

Perantara dari Mesir baru-baru ini menggesa agar Awawdeh dibebaskan di bawah satu perjanjian gencatan senjata untuk menghentikan konflik antara Israel dengan kumpulan militan Jihad yang menyebabkan 49 orang terkorban di Gaza.

Sejauh ini tiada komen yang diberikan oleh tentera Israel, kementerian pertahanan atau khidmat penjaranya berhubung pembebasan Awawdeh.

Seorang jurucakap Jihad Islam Palestin, Dawoud Shehab, mengalu-alukan perjanjian itu sebagai satu pencapaian yang menurut beliau dimeterai menyusuli usaha berminggu-minggu lamanya.

"Kami amat berterima kasih atas usaha Mesir yang menggesa agar Awawdeh dibebaskan," Encik Shehab memberitahu Reuters.

Menerusi satu video yang tersebar di media sosial, Awawdeh, yang kelihatan lemah dan kurus kering serta tercungap-cungap sedang dia bercakap dari katilnya di hospital, berkata dia akan kekal dirawat di hospital sehingga pulih dan boleh kembali berjalan.

Dalam satu lagi video yang dikongsi oleh peguamnya, Awawdeh mengucapkan terima kasih kepada mereka yang setia bersamanya sehingga saat-saat sebelum dia menghentikan mogok lapar tersebut dengan secawan teh.

"Terima kasih atas sokongan anda," kata Awawdeh. "Anda sebuah negara yang hebat. Anda sebuah negara yang hebat."
Sumber : Reuters/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa