Skip to main content

Dunia

Tabung Haji tegaskan pembayaran zakat bagi pendeposit sah, patuh syariah

Anggaran Waktu Membaca:
Tabung Haji tegaskan pembayaran zakat bagi pendeposit sah, patuh syariah

Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah, sekali gus menepis keraguan terhadap amalan pembayaran zakat institusi itu. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 09:11AM
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan sudah dilaksanakan dengan sempurna, sekali gus menepis sebarang keraguan berhubung amalan pembayaran zakat institusi itu.

TH dalam kenyataannya pada Rabu (5 Ogos) memaklumkan Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH dalam mesyuaratnya pada 2 September 2020 berpandangan, status pembayaran zakat bagi pendeposit untuk tahun-tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 menetapkan bahawa TH merupakan institusi yang tidak diwajibkan membayar zakat ke atasnya, namun wajib melunaskan zakat bagi pihak pendeposit.

“TH telah secara konsisten menunaikan kewajipan membayar zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan ketetapan ini.

“Berhubung pembayaran zakat bagi tahun-tahun semasa kontrak Wadiah Yad Damanah digunakan (2016-2019), pada hakikatnya zakat yang dikeluarkan itu adalah zakat perniagaan (secara khultah) bagi pihak pendeposit ke atas kumpulan wang pendeposit yang diniagakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan perkara berkenaan berasaskan kepada pertimbangan bahawa TH tidak diwajibkan membayar zakat ke atas institusi itu, tidak mempunyai pemegang saham dan keseluruhan aset yang diniagakan dijana sepenuhnya daripada dana pendeposit.

Sehubungan itu, menurut TH, kesemua zakat yang dibayar pada setiap masa adalah bagi pihak pendeposit. Justeru mereka tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ke atas dana deposit yang sama kerana ia akan mengakibatkan pertindihan zakat ke atas harta yang sama, yang tidak selaras dengan prinsip syariah.

Berhubung syor Suruhanjaya Siasatan Diraja TH supaya perkara berkaitan amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, TH menegaskan amalan zakat institusi itu sudah dibentangkan dan diperakui oleh Jawatankuasa Muzakarah berkenaan pada Jun 2024.

“Pandangan Jawatankuasa Muzakarah tersebut seterusnya telah disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-267 pada Oktober 2024.

“TH ingin memaklumkan bahawa keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh JPS TH yang dianggotai oleh pakar-pakar syariah dan kewangan Islam,” menurut kenyataan itu.
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita