Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tabung Haji Malaysia saran guna syarikat berlesen untuk visa haji di luar kuota rasmi

Bakal jemaah haji rakyat Malaysia yang memperoleh visa Furada atau Mujamalah disarankan untuk menggunakan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Anggaran Waktu Membaca:
Tabung Haji Malaysia saran guna syarikat berlesen untuk visa haji di luar kuota rasmi

Terdapat sebanyak 37 syarikat yang dilesenkan TH memiliki Lesen Pengendali Pelancongan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Feb 2025 10:28AM Dikemas Kini : 08 Feb 2025 10:29AM
KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji rakyat Malaysia yang memperoleh visa Furada atau Mujamalah disarankan untuk menggunakan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Terdapat sebanyak 37 syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH memiliki Lesen Pengendali Pelancongan, dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, lapor Berita Harian Malaysia.

"Semua 37 syarikat ini mempunyai kewangan yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited memberikan perkhidmatan terbaik untuk menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia.

"TH sentiasa memantau semua PJH bermula daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan untuk memastikan semua jemaah haji mendapat perkhidmatan terbaik dan mengelakkan sebarang penipuan," kata Encik Syed Hamadah dalam kenyataan yang dibuat hari ini, seperti dipetik oleh Berita Harian Malaysia.

Beliau juga mengatakan bahawa pemberian visa Furada dan Mujamalah yang dikeluarkan kepada kumpulan tertentu adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi dan ia di luar kuota haji rasmi negara.

"Kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadat dan keselamatan para jemaah haji yang datang dari seluruh dunia.

"Kerajaan Arab Saudi juga akan melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat ketika waktu kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji yang lebih efisien bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair (hari kemuncak operasi haji)," katanya.

Dalam pada itu, sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan undang-undang dan denda yang berat.

Kata beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), semalam melaporkan terdapat 44 kes penipuan haji dan umrah yang disiasat sepanjang 2024. Kes-kes tersebut membabitkan nilai kerugian sebanyak RM890,810.53 (S$271,554.58).

"Pihak polis juga mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang bertujuan mengaut keuntungan.

"TH menyokong penuh saranan PDRM agar berwaspada dengan penipuan haji. Setiap kali tibanya musim haji, akan muncul segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara," kata Encik Syed Hamadah, seperti dipetik Berita Harian Online.

Beliau juga menambah bahawa mana-mana pihak, sama ada individu atau agensi pelancongan, yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan