Skip to main content

Dunia

Tabung Haji Malaysia perjelas kadar tolak tawaran haji sebanyak 50%

Anggaran Waktu Membaca:
Tabung Haji Malaysia perjelas kadar tolak tawaran haji sebanyak 50%

Umat Islam melawat Masjidil Haram menjelang akhir musim haji 1446 Hijrah pada 8 Jun 2025. (Gambar: AFP)

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menjelaskan bahawa laporan mengenai kadar penolakan tawaran haji sebanyak 50 peratus merujuk kepada data musim haji 1446H/2025M dan bukan musim haji akan datang.

TH dalam kenyataannya memaklumkan analisis terhadap penolakan tawaran pada musim 1446H/2025M mendapati faktor utama adalah simpanan pendeposit yang tidak mencukupi untuk melayakkan mereka menerima tawaran berkenaan.

Bagi menghadapi musim haji 1447H/2026M, TH sudah mempergiat peringatan berkala sejak Ogos lalu bagi memastikan bakal jemaah membuat persediaan menyeluruh dari segi kewangan, kesihatan, dan ilmu pengetahuan.

Langkah proaktif ini, sebahagian daripada inisiatif peremajaan jenama TH, dilaporkan menunjukkan perkembangan positif.

“Kadar penolakan tawaran haji bagi musim 1447H/2026M didapati lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya hasil peringatan awal dan kempen simpanan berterusan,” menurut kenyataan itu.

TH menegaskan setiap bakal jemaah perlu mempunyai simpanan minimum RM15,000 (S$4,740) dalam akaun TH untuk melayakkan mereka menerima tawaran haji atau mengemukakan rayuan.

TH turut memaklumkan bahawa tawaran haji kepada jemaah bagi musim 1447H/2026M sedang dikeluarkan secara berperingkat ketika ini, sambil menggalakkan bakal jemaah menyimpan secara berkala serta menjaga kesihatan bagi melengkapkan rukun Islam kelima.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata penolakan tawaran haji bagi musim lalu mencecah 50 peratus, dengan faktor kewangan menjadi punca utama.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita