Syria terus dicengkam keganasan sedang pemerintah bergelut redakan ketegangan
Kumpulan-kumpulan bersenjata menyerang beberapa anggota pasukan keselamatan dalaman Syria di Sweida, menyebabkan seorang anggota terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Gambar bertarikh 25 Julai 2025 ini menunjukkan orang awam menunggang motosikal melewati sebuah kenderaan tentera yang hangus terbakar, susulan pertempuran maut antara pejuang Druze, suku Bedouin Sunni dan pasukan pemerintah di bandar Sweida yang majoritinya didiami kaum Druze di Syria. (Gambar: REUTERS/Khalil Ashawi)
Mereka turut melepaskan tembakan ke arah beberapa rumah di wilayah selatan yang dilanda keganasan itu, menurut laporan Ekhbariya TV yang dikendalikan pemerintah Syria pada Ahad (3 Ogos).
Laporan itu memetik sumber keselamatan yang menyatakan kumpulan bersenjata berkenaan melanggar gencatan senjata yang dipersetujui di wilayah yang mempunyai majoriti penduduk kaum Druze tersebut, di mana pertumpahan darah antara puak mengorbankan beratus-ratus nyawa pada bulan lalu.
Golongan Druze merupakan puak kecil Islam dengan penganut di Syria, Lubnan dan Israel.
Wilayah Sweida majoritinya didiami masyarakat Druze tetapi turut menempatkan kaum Sunni, dengan kedua-dua komuniti sudah lama berselisih faham berhubung tanah dan sumber lain.
GENCATAN SENJATA YANG DISOKONG AMERIKA SYARIKAT GOYAH
Satu gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat menamatkan pertempuran yang berlarutan hampir seminggu di bandar Sweida dan kawasan sekitarnya.
Syria menyatakan ia akan menyiasat kejadian tersebut dan sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menjalankan siasatan.
Pertumpahan darah di Sweida bulan lalu menjadi ujian besar buat Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa, susulan keganasan bersifat sektarian yang melanda wilayah pesisir itu pada Mac lalu dan meragut ratusan nyawa puak Alawi.
Sejak penyingkiran mantan Presiden Bashar Al-Assad, Israel sudah melancarkan beberapa serangan dan operasi ketenteraan di selatan Syria, dengan alasan untuk menyasarkan kumpulan militan yang dipercayai boleh mengancam keselamatan rakyat Israel dan penduduk di Bukit Golan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.