Syria mulakan kiraan undi pilihan raya parlimen pertama selepas kejatuhan Assad
Ahli-ahli jawatankuasa tempatan Syria mengundi untuk melantik Parlimen sementara, di Damascus pada 5 Oktober 2025. (Gambar: LOUAI BESHARA / AFP)
“Kiraan undi sedang dijalankan selepas semua pusat mengundi di setiap wilayah ditutup,” kata jurucakap Jawatankuasa Tertinggi Pilihan Raya, Nawar Najmeh seperti dipetik agensi berita rasmi Syria, SANA, menurut Anadolu Ajansi (AA).
Suruhanjaya pilihan raya memaklumkan bahawa waktu mengundi dilanjutkan di beberapa bandar utama, termasuk Damsyik bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat menunaikan tanggungjawab mereka.
Rakyat Syria keluar mengundi pada Ahad untuk memilih dua pertiga perwakilan Parlimen dalam pilihan raya pertama sejak kejatuhan Assad pada Disember lalu.
Sebanyak 1,578 calon bertanding merebut 210 kerusi Parlimen, dengan wanita mewakili 14 peratus daripada jumlah calon.
Pemerhati daripada perwakilan diplomatik dan duta turut hadir di pusat pengundian utama di Perpustakaan Negara bagi memantau proses pilihan raya.
Ketika proses pengundian berlangsung, Presiden Ahmad Al-Sharaa turut hadir di pusat mengundi Perpustakaan Negara di Damsyik bagi meninjau proses pilihan raya.
“Setiap rakyat Syria mesti memainkan peranan dalam membina semula negara ini,” katanya.
Beliau menyuarakan harapan agar keputusan pilihan raya kali ini dapat mengetengahkan wakil terbaik ke Parlimen bagi menangani isu penting negara, meluluskan undang-undang tertangguh dan menyemak bajet nasional.
Keputusan rasmi dijangka diumumkan pada sidang media Isnin atau Selasa nanti.
Sejak kejatuhan Assad pada akhir 2024, pemerintah baharu Syria melaksanakan pembaharuan politik dan ekonomi sambil memperkukuh perpaduan sosial serta memperluas kerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa.
Encik Assad, yang memimpin Syria hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada Disember lalu, menamatkan pemerintahan Parti Ba’ath yang berkuasa sejak 1963.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.