Skip to main content

Dunia

Syria mula musnahkan saki-baki senjata kimia dari era pemerintahan Assad

Anggaran Waktu Membaca:
  Syria mula musnahkan saki-baki senjata kimia dari era pemerintahan Assad

Kubur besar yang menempatkan mangsa serangan gas sarin pada 2013, yang didakwa dilakukan oleh tentera Presiden ketika itu, Bashar al-Assad, di kawasan Zamalka, pinggir Damsyik, Syria, pada Rabu (25 Dis 2024). (Gambar fail: AP/Hussein Malla)

Diterbitkan : 04 Sep 2026 06:43AM
  • Syria memusnahkan saki-baki senjata kimia rahsia era Bashar al-Assad yang ditemui pada Mei, dengan pengesahan OPCW dan PBB.
  • Pemusnahan ini melibatkan 42 bom udara dan peluru kimia yang belum diisi, serta pengisytiharan dua kemudahan simpanan baharu.
  • Duta Syria ke PBB menegaskan usaha ini bertujuan melindungi dunia, namun mengkritik serangan Israel yang mengganggu operasi pemusnahan.
  • Pihak berkuasa Syria juga menahan 18 suspek, termasuk pegawai kanan, dan sedang merancang sidang mahkamah terhadap mereka yang terlibat dalam program senjata kimia.
Dijana oleh AI
BEIRUT: Syria sudah mula memusnahkan saki-baki program senjata kimia rahsia dari era pemerintahan Bashar al-Assad yang ditemui pada Mei lalu. Ini merupakan kali pertama senjata kimia tersebut dimusnahkan dalam tempoh sedekad, menurut seorang wakil Syria dan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (3 Sep).

Reuters melaporkan pada Mei bahawa kepimpinan baharu Syria menemui saki-baki program senjata kimia bekas Presiden Syria Bashar al-Assad. Ia termasuk bahan mentah dan peluru yang serupa dengan yang digunakan dalam serangan gas maut semasa perang saudara di negara itu.

Izumi Nakamitsu, Wakil Tertinggi PBB bagi Hal Ehwal Pelucutan Senjata, memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada Khamis, buat pertama kali sejak 2014, Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) mengesahkan pemusnahan peluru senjata kimia di Syria.

Menyusuli penemuan pada Mei itu, Syria menemui “sebuah lagi kemudahan pengeluaran senjata kimia, sejenis bahan kimia yang baru dikenal pasti dan digunakan untuk menghasilkan agen saraf, serta peluru senjata kimia yang kosong”.

Cik Nakamitsu berkata Syria turut mengisytiharkan dua kemudahan simpanan senjata kimia yang digunakan untuk menyimpan bahan dan peralatan yang baru ditemui itu.

“MELINDUNGI DUNIA DAN RANTAU INI”

Bulan lalu, OPCW menghantar satu pasukan ke Syria untuk mengesahkan pemusnahan senjata kimia kategori tiga. Kategori ini merujuk kepada peluru yang belum diisi dengan bahan kimia serta peralatan lain yang digunakan untuk melepaskan senjata kimia.

Cik Nakamitsu berkata pasukan itu mengesahkan bahawa “42 bom udara” sudah dimusnahkan sepenuhnya dan tidak boleh digunakan semula.

Duta Syria ke PBB, Ibrahim Olabi, memberitahu Majlis Keselamatan bahawa menerusi usaha tersebut, Syria sedang “melindungi dunia dan rantau ini”.

Namun, beliau mengkritik keras Israel dengan berkata serangan Israel yang berulang kali menghalang beberapa operasi mencari dan memusnahkan senjata kimia serta membahayakan pasukan Syria yang menjalankan tugas tersebut.

“Kita tidak boleh menjaga keselamatan rantau ini jika keselamatan kita sendiri terdedah kepada serangan Israel. Mereka mengabaikan keselamatan seluruh rantau ini dan melanggar konvensyen serta perjanjian yang telah kita bincangkan,” kata Encik Ibrahim.

Kenyataan Encik Ibrahim dalam bahasa Arab itu diterjemahkan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

Tentera Israel tidak memberikan maklum balas segera apabila diminta mengulas mengenai perkara itu.

Encik Ibrahim berkata Syria juga sedang membuat persiapan untuk mengadakan sidang pertama mahkamah terhadap individu yang disyaki terlibat dalam program senjata kimia tersebut.

Pihak berkuasa Syria pada awal tahun ini menahan 18 suspek kerana didakwa terlibat dalam program senjata kimia era Assad.

Mereka termasuk pegawai kanan tentera, pegawai politik dan pegawai teknikal.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita