Syria adakan pilihan raya pertama sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad
Syria mengadakan pilihan raya parlimen pertamanya sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad, menandakan langkah awal ke arah pembentukan pemerintah baharu selepas lebih satu dekad konflik berdarah, lapor Astro Awani.
Orang ramai mengibarkan bendera Syria. (Gambar: REUTERS)
Namun, proses pengundian tidak berlangsung di setiap wilayah, mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keterangkuman dan legitimasi politik.
Berdasarkan laporan Astro Awani, pilihan raya tersebut dijalankan secara tidak langsung, di mana dua pertiga daripada 210 kerusi Parlimen akan dipilih oleh kolej elektoral serantau yang terdiri daripada sekitar 6,000 anggota.
Selebihnya, sebanyak 70 kerusi, akan dilantik secara langsung oleh Presiden interim Ahmed al-Sharaa, mantan komander pemberontak yang menggulingkan Encik Assad pada Disember 2024.
Menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Tertinggi, pengundian hanya berlangsung di 50 daripada 60 daerah.
Ini selepas proses tersebut ditangguhkan di tiga wilayah - Raqqa, Hasakah dan Suweida - atas sebab keselamatan dan ketegangan politik, lapor Astro Awani.
Kawasan-kawasan tersebut masih dikuasai oleh kumpulan etnik dan militan tempatan, termasuk pasukan Kurdi dan militan Druze.
Semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu, Encik Sharaa berjanji akan membawa mereka yang bertanggungjawab atas pertumpahan darah semasa era Encik Assad ke muka pengadilan.
Beliau juga berjanji akan membina semula institusi negara yang menjamin hak semua rakyat tanpa pengecualian.
Walaupun lebih 1,500 calon bertanding, pengkritik menyuarakan kebimbangan bahawa sistem pemilihan itu terlalu dikawal oleh presiden dan tidak mencerminkan kehendak rakyat, lapor Astro Awani.
Tiada kuota minimum ditetapkan untuk wanita atau wakil minoriti, walaupun sekurang-kurangnya 20 peratus anggota kolej elektoral wajib terdiri daripada kaum wanita.
Kumpulan masyarakat sivil Syria turut menyuarakan kebimbangan bahawa pelantikan langsung oleh presiden boleh menjejaskan kebebasan Parlimen dan menjadikan institusi itu tunduk kepada kuasa eksekutif.
“Pilihan raya ini bersifat simbolik dan tidak memenuhi tujuan demokrasi sebenar,” menurut kenyataan bersama 14 organisasi tempatan, seperti yang dipetik Astro Awani.
Pilihan raya tersebut berlangsung dalam suasana pasca perang yang masih rapuh, dengan lebih 12 juta rakyat Syria masih hidup sebagai pelarian atau pelarian dalaman, dan lebih 600,000 nyawa terkorban sejak konflik bermula pada 2011.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.