Skip to main content

Dunia

Syed Saddiq umum langkah tarik sokongan MUDA terhadap Kerajaan Perpaduan, jadi pembangkang kuasa ketiga

Anggaran Waktu Membaca:
Syed Saddiq umum langkah tarik sokongan MUDA terhadap Kerajaan Perpaduan, jadi pembangkang kuasa ketiga

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Sep 2023 08:20PM Dikemas Kini : 10 Sep 2023 08:25PM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, secara rasmi menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta dan menjadi pembangkang kuasa ketiga.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam satu kenyataan pada Ahad (10 Sep), berkata antara sebab tindakan Syed Saddiq itu adalah keputusan Peguam Negara yang mendorong keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan.

Kata kenyataan itu, tindakan itu yang dibuat tanpa penjelasan yang meyakinkan telah menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat secara umum, lapor Astro Awani.

"Ini kerana keputusan Peguam Negara melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 kes pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram tanpa sebarang penjelasan yang meyakin telah menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada rakyat.


"Sesungguhnya, ini melanggar prinsip kerajaan MADANI yang ingin melawan rasuah," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Mengulas lanjut, MUDA berkata, parti itu berpegang teguh kepada prinsip Kedaulatan Undang-Undang dan beberapa keputusan yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini bertentangan dengan prinsip dan nilai tersebut.


"(Selain itu, ia berkaitan) isu integriti dan budaya rasuah. Sehubungan keputusan tersebut, MUDA percaya bahawa institusi perundangan negara ini telah dicemari dan kerajaan Perpaduan seolah-olah telah menormalisasikan budaya rasuah," ujar beliau.


Menurutnya, janji-janji reformasi yang ditaburkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diabaikan dengan pelbagai alasan oleh kerajaan pada Ahad, seperti dinukil laporan Astro Awani.

Namun demikian, beliau memberitahu, meskipun MUDA berada di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga, parti itu akan terus komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam agenda pembangunan negara progresif yang memerlukan undi dua per tiga dewan seperti agenda reformasi institusi.

Kata kenyataan itu lagi, Syed Saddiq telah memaklumkan keputusan itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul melalui surat rasmi untuk memberi pertimbangan di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.

Sumber : Agensi berita/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita