Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Syed Saddiq, Nurul Izzah pilihan netizen sebagai Menteri Belia dan Sukan

 Barisan menteri Kabinet Malaysia dijadual mengangkat sumpah esok (21 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Syed Saddiq, Nurul Izzah pilihan netizen sebagai Menteri Belia dan Sukan

Gambar: Instagram

Diterbitkan : 20 May 2018 01:50PM Dikemas Kini : 20 May 2018 02:28PM

KUALA LUMPUR: Barisan menteri Kabinet Malaysia dijadual mengangkat sumpah esok (21 Mei).

Satu portfolio yang dinanti-nantikan oleh golongan muda ialah jawatan Menteri Belia dan Sukan, menggantikan Menteri sebelum ini iaitu Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ini juga merupakan antara portfolio penting yang mengambil kira hal ehwal anak-anak muda Malaysia.

Astro AWANI melaporkan bahawa perbualan di media sosial semakin rancak oleh mereka yang masih tertanya-tanya siapa bakal mengisi jawatan tersebut.

Secara amnya, netizen mengharapkan calon dipilih adalah berdasarkan kelayakan agar ia kekal relevan.

Antara nama yang disebut-sebut untuk memegang jawatan itu adalah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad turut menerima sokongan netizen untuk menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Malah, muka baru dalam politik negara, Encik Fahmi Fadzil yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai dikatakan netizen, juga mempunyai potensi untuk menjadi Menteri Belia dan Sukan, lapor Astro AWANI.

Jumaat lalu (18 Mei), Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan senarai nama untuk 15 Menteri Kabinet baru.

Menurut kenyataan beliau, antara yang tersenarai adalah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi manakala Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Senarai yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara yang kemudian memperkenankannya.

Astro AWANI melaporkan bahawa Tun Mahathir sebelum ini turut berkata Pakatan Harapan mahu mengurangkan kerusi Kabinet kepada 25 dan jumlahnya boleh ditambah pada masa hadapan bergantung kepada keperluan.

Senarai penuh kabinet difahamkan akan diumumkan kemudian.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan