Skip to main content

Dunia

Syed Saddiq jauhkan diri dari Mahathir susuli Langkah Sheraton

Anggaran Waktu Membaca:
 Syed Saddiq  jauhkan diri dari Mahathir susuli Langkah Sheraton

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Jul 2023 11:51AM Dikemas Kini : 06 Jul 2023 11:55AM
MALAYSIA: Pernah dianggap sebagai salah seorang anak murid Dr Mahathir Mohamad, nampaknya Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini keberatan mengenang kembali hubungannya dengan bekas 'tok guru'.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini pada hari Selasa (4 Jul), Syed Saddiq berkata bahawa beliau lebih suka bergerak ke hadapan untuk memberi tumpuan kepada agenda "politik baru" Muda daripada mengenang masa lalu.

Ketika ditanya sama ada kini malu dengan keakraban yang pernah dikongsi dengan Dr Mahathir, Syed Saddiq mengetepikan soalan itu.

Beliau sebaliknya berkata, beliau tidak bersetuju dengan cara politik lama yang dilihat masih diamalkan Dr Mahathir pada masa kini.

“Saya rakyat Malaysia dahulu. Dan saya percaya kekuatan negara kita yang tercinta terletak pada kepelbagaian dan institusi kita, bukan pada keperibadian, bukan pada satu bangsa atau agama.

“Ramai menumpukan perhatian untuk melihat ke belakang sehingga mereka lupa bagaimana untuk membawa Malaysia ke hadapan dan itulah sebabnya saya berkata terdapat dua faktor penting yang membezakan antara ‘politik lama’ dan ‘politik baru’.

“Yang pertama ialah menerima kepelbagaian dan bukannya mono-etnik. Dan yang kedua bergantung kepada pembinaan institusi demokrasi yang kukuh dan bukannya fokus kepada personaliti,” katanya.

Dr Mahathir baru-baru ini membuat kenyataan yang mendakwa bahawa mempromosikan Malaysia yang berbilang kaum adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, mantan perdana menteri Malaysia sebanyak dua kali itu juga menuduh orang bukan Melayu, tanpa memberikan bukti, mahu "menukar pemilikan dan nama" Malaysia.

Sebagai respons, Syed Saddiq bertanya Dr Mahathir sama ada beliau terlupa bahawa salah satu daripada sembilan cabaran strategik yang digariskan dalam Wawasan 2020 - yang dilancarkan pada 1991 semasa memegang jawatan perdana menteri - ialah "Bangsa Malaysia".

“Saya ingin mengingatkan Tun bahawa salah satu tonggak penting ialah membina ‘Bangsa Malaysia’, tanpa mengira kaum, agama dan kelas ekonomi sosial.

Walaupun ia tidak dilihat sebagai percubaan jelas untuk menjauhkan dirinya daripada bekas tok gurunya, Syed Saddiq mengakui bahawa beliau mula tidak dekat dengan Dr Mahathir selepas Langkah Sheraton pada 2020, lapor Malaysiakini.

Syed Saddiq dan Dr Mahathir dipecat daripada Bersatu berikutan pertukaran kerajaan, menyebabkan Dr Mahathir menubuhkan sebuah lagi parti berasaskan Melayu, Pejuang.

Bagaimanapun, Syed Saddiq memilih untuk tidak menyertai Pejuang dan sebaliknya menubuhkan Muda - sebuah parti berbilang kaum yang dipimpin oleh belia.

Susuli pengumuman Syed Saddiq minggu lalu bahawa Muda akan bertanding solo di semua enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Dr Mahathir sekali lagi cuba melemahkan semangat parti yang masih baru itu.

Dr Mahathir menegaskan tiada sebab untuk parti itu bertanding sekiranya ia tidak menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan, menurut Malaysiakini.

Mengenai peluangnya dalam pilihan raya negeri, presiden Muda itu memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu akan bermula dari kecil dalam apa yang disifatkannya sebagai perjalanan selama beberapa dekad untuk mendapatkan sokongan.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita