Syed Saddiq dakwa pembinaan dewan sekolah di Muar dihentikan berikutan keputusannya tarik diri daripada gabungan kerajaan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa terdapat usaha untuk menghentikan pembinaan dewan serba guna di empat sekolah di kawasannya.
Dalam ucapan membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, Syed Saddiq mendakwa tindakan itu dibuat berikutan keputusannya menarik diri daripada gabungan kerajaan, lapor Astro Awani.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa adalah tidak adil jika pelajar dan guru dihukum atas isu politik.
“Di Muar (kerajaan) telah luluskan pembinaan empat dewan baharu. (Infrakstruktur ini) bukan milik Syed Saddiq (tapi) milik cikgu, PIBG sekolah dari satu generasi ke generasi lain.
“Saya dengar kerana saya memilih pihak pembangkang, walau perkara ini dah diluluskan berbulan-bulan yang lepas, ada ura-ura bahawa mereka ingin menyekat dan memberhentikan pembinaan dewan baharu ini.
“Adakah kerajaan Madani pada hari ini ingin menghukum cikgu, anak-anak muda daripada keluarga miskin yang inginkan infrastruktur asas ini? Ini tak adil,” dakwanya.
Dalam ucapannya, Syed Saddiq mengingatkan kerajaan bahawa mereka tidak akan sentiasa berkuasa dan dengan itu harus adil dalam mengagihkan dana kepada ahli Parlimen, seperti dipetik laporan Astro Awani.
“Betulkan sistem ini sebelum terlambat. Ingat, politik itu ada naik dan turun. Hari ini kita pembangkang, esok kita kerajaan.
“Jikalau kamu dikenakan seksaan yang sama, adakah kamu suka perkara ini? Dengar, ingat, cermin diri sendiri dahulu,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.