Syed Saddiq akan kemuka rayuan, tekad bersihkan nama
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi bagi empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Dalam satu kenyataan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan beliau sudah mengarahkan pasukan peguamnya, Mohd Yusof Zainal Abiden dan Hisyam Teh Poh Teik supaya segera menyiapkan rayuan tersebut.
"Tidak ada masa yang akan dibazirkan kerana beliau bertekad untuk memastikan rayuan ini didengar secepat mungkin," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat (29 Nov).
"Seperti yang dinyatakan, jika keputusan mahkamah didapati tidak berpihak kepadanya, beliau akan menghormati institusi kehakiman walaupun perit dan tidak adil keputusan tersebut," menurut kenyataan itu lagi.
"Cinta beliau terhadap negara ini adalah tanpa syarat dan beliau terus menghormati prinsip dan institusi yang membentuk negara ini walaupun dalam saat-saat yang sukar."
Sinar Harian melaporkan Mahkamah Tinggi sebelum ini menyifatkan tindakan Syed Saddiq menyimpan dan membahagikan wang Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tanpa disimpan di tempat yang selamat di pejabat parti, sebagai mencurigakan.
Hakim Azhar Abdul Hamid lantas menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta (S$3 juta) dan dua sebatan.
Mengulas lanjut, Muda menyatakan Syed Saddiq tegas memastikan namanya dibersihkan melalui proses keadilan di mahkamah kerana percaya tiada sesiapa sepatutnya melangkaui undang-undang.
"Sebagaimana yang dikatakan beliau, di sisi undang-undang, kita semua adalah sama, hanya kepercayaan yang tidak berbelah bahagi ini Malaysia mampu menjadi negara maju yang menjaga semua kepentingan rakyat," ujarnya seperti dipetik Sinar Harian.
"Ini prinsip yang Muda tegakkan dalam perjuangan kami untuk memastikan sistem perundangan kita kekal adil dan tidak dipengaruhi oleh kekuatan politik atau mana-mana kepentingan peribadi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.