Skip to main content

Dunia

Syarikat urus projek HSR lantik perunding semak reka bentuk, potong kos

MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), syarikat yang mengendalikan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura  (KL-SG HSR) pada Jumaat (28 Jun) melantik perunding penasihat teknikal (TAC) dan perunding penasihat komersial (CAC) sebagai sebahagian langkah semakan semula projek tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jun 2019 08:21PM Dikemas Kini : 28 Jun 2019 11:23PM

KUALA LUMPUR: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), syarikat yang mengendalikan projek kereta api laju (KL-SG HSR) pada Jumaat (28 Jun) melantik perunding penasihat teknikal (TAC) dan perunding penasihat komersial (CAC) sebagai sebahagian langkah semakan semula projek tersebut.

Dalam kenyataannya, MyHSR Corp menyatakan ia melantik firma pengurusan projek dan kejuruteraan pelbagai disiplin tempatan, Minconsult Sdn Bhd dan Ernst Young (EY), masing-masing sebagai TAC dan CAC.

MyHSR Corp, TAC dan CAC kini akan mengkaji semula perubahan yang disarankan kepada Projek KL-SG HSR dan mengenal pasti pilihan pengurangan kos lebih lanjut untuk kerajaan Malaysia.

TAC memberi tumpuan kepada aspek kejuruteraan projek tersebut dengan mengkaji dan membuat pengesahan perubahan reka bentuk infrastruktur dicadangkan di Malaysia seperti penjajaran, stesen dan kemudahan penyenggaraan kereta api.

CAC memberi tumpuan kepada aspek komersial seperti membangunkan model perniagaan baharu, mengenal pasti pilihan pendanaan dan pembiayaan, mengemas kini unjuran penumpang dan mengemas kini manfaat ekonomi projek itu kepada Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata pelantikan TAC dan CAC merupakan langkah penting dalam membangunkan KL-SG HSR pada harga berpatutan.

"Penyelesaian ini adalah bersifat holistik dan menghormati keperluan pemerintah Singapura, menyedari jangkaan pasaran mengenai kemampanan projek dan kebolehlarasan serta tanpa menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan, masa perjalanan dan keselamatan," katanya.

Laluan HSR sepanjang 350 kilometer itu bermatlamat untuk menyingkatkan masa perjalanan antara Singapura dengan Kuala Lumpur kepada sekitar 90 minit menaiki kereta api berbanding 11 jam menggunakan khidmat kereta api sedia ada.

HSR adalah antara projek mega yang diluluskan kerajaan Malaysia sebelum ini yang disemak pentadbiran Pakatan Harapan sebagai sebahagian semakan kewangan negara.

September lalu, Singapura dan Malaysia secara rasmi bersetuju menundakan pembinaan HSR sehingga hujung Mei 2020. Malaysia perlu membayar Singapura S$15 juta bagi kos yang ditanggung akibat penundaan projek.

Semasa tempoh projek digantung, kedua-dua negara akan "terus membincangkan cara terbaik untuk meneruskan projek HSR dengan tujuan mengurangkan kos" menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan ketika itu.

Sumber : Bernama/CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita