Syarikat telko Optus dedah sistem panggilan kecemasan Australia lumpuh kerana proses kemas kini tidak dipatuhi
Sebuah kedai Optus di Sydney, Australia, pada 8 November 2023. (Gambar fail: REUTERS/Kirsty Needham)
SYDNEY: Syarikat telekomunikasi kedua terbesar di Australia, Optus menyatakan pada Ahad (21 Sep) bahawa proses kemas kini rangkaian tidak dipatuhi justeru ia mencetuskan gangguan teknikal yang menyebabkan sistem panggilan kecemasan lumpuh selama 13 jam dan dikaitkan dengan empat kes kematian.
Bantahan semakin meningkat di Australia berhubung insiden gangguan teknikal itu, di mana Optus menyatakan ia berlaku semasa proses kemas kini sistem rangkaian pengalis (firewall) syarikat telekomunikasi itu yang bermula pada pukul 12.30 tengah malam pada Khamis (18 Sep) hingga kira-kira pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan dan ia berkemungkinan menjejas 600 pelanggan.
Pemerintah Australia pada Jumaat (19 Sep) menyatakan ia akan menyiasat insiden yang "tidak boleh diterima" oleh syarikat itu.
Optus menyatakan pada keesokan hari (20 Sep) ia akan bekerjasama dalam sebarang usaha untuk menyiasat kejadian itu.
CEO Optus Stephen Rue berkata dalam satu kenyataan pada Ahad bahawa siasatan awal syarikat itu menunjukkan proses-proses yang ditetapkan tidak dipatuhi sewaktu proses naik taraf dilaksanakan.
"Mengenai butiran teknikal penuh kegagalan rangkaian itu, kami perlu menyerahkannya kepada para penyiasat," kata Encik Rue.
Lima pelanggan menghubungi pusat panggilan Optus untuk melaporkan gangguan teknikal itu namun aduan mereka tidak diusahakan, katanya.
"Itu jelas tidak cukup baik... Saya ingin mengulangi betapa saya sedih dengan kehilangan nyawa empat orang, yang tidak dapat menghubungi perkhidmatan kecemasan pada masa mereka memerlukan," katanya.
Dua daripada individu yang maut itu dikenal pasti sebagai seorang bayi lelaki berusia lapan minggu dan seorang wanita berusia 68 tahun, menurut polis Australia Selatan.
Lagi dua kematian melibatkan dua lelaki berusia 74 dan 49 tahun, menurut polis di Australia Barat.
Encik Rue berkata pada Jumaat bahawa Optus sudah pun memperbaiki kerosakan itu dan akan mengumumkan keputusan siasatan kejadian itu.
Insiden itu berlaku kurang setahun selepas Optus, yang dimiliki oleh Singapore Telecommunications, didenda A$12 juta (S$10.1 juta) oleh pengawal selia kerana gagal menyediakan khidmat panggilan kecemasan kepada ribuan penduduk apabila berlaku gangguan teknikal di seluruh negara pada 2023.
Optus juga mengalami serangan siber pada 2022 yang menjejas data kira-kira 9.5 juta penduduk Australia.
Bekas CEO Kelly Bayer Rosmarin meletak jawatan menyusuli insiden-insiden sebelum ini dan Encik Rue mengambil alih jawatannya pada November 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.