Skip to main content

Dunia

Syarikat teknologi beri amaran kumpulan penggodam 'Scattered Spider' sasar sektor penerbangan

Syarikat teknologi Google dan Palo Alto Networks memberi amaran berkenaan minat kumpulan penggodam "Scattered Spider" terhadap sektor penerbangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat teknologi beri amaran kumpulan penggodam 'Scattered Spider' sasar sektor penerbangan

Sebuah kanta pembesar dipegang di hadapan skrin komputer dalam ilustrasi yang diambil di Berlin pada 21 Mei 2013. (Gambar fail: REUTERS/Pawel Kopczynski/Ilustrasi)

AMERIKA: Syarikat teknologi Google dan Palo Alto Networks memberi amaran berkenaan minat kumpulan penggodam "Scattered Spider" terhadap sektor penerbangan.

Dalam satu catatan yang diterbitkan di LinkedIn pada Jumaat (27 Jun), Sam Rubin, seorang eksekutif Unit 42 Palo Alto yang menumpukan perhatian kepada keselamatan siber, berkata syarikatnya "melihat Muddled Libra (juga dikenali sebagai Scattered Spider) menyasarkan industri penerbangan."

Dalam kenyataan serupa, Charles Carmakal, seorang eksekutif dengan unit keselamatan siber Mandiant milik Google di bawah naungan Alphabet, berkata syarikatnya "menyedari beberapa kejadian dalam sektor syarikat penerbangan dan pengangkutan yang menyerupai operasi UNC3944 atau Scattered Spider."

Mereka tidak menyatakan syarikat mana yang disasarkan, namun Hawaiian Airlines yang dimiliki oleh Alaska Air Group dan syarikat WestJet dari Kanada baru-baru ini melaporkan serangan siber yang tidak dinyatakan secara terperinci.

Kedua-dua syarikat tidak memberikan butiran tentang pencerobohan tersebut atau mengulas mengenai sebarang kaitan yang berkemungkinan antara kejadian berkenaan dengan Scattered Spider.

Kumpulan penggodam yang tidak tersusun dengan rapi tetapi agresif itu, sebahagiannya didakwa terdiri daripada golongan muda yang beroperasi di negara-negara Barat, dipersalahkan atas beberapa serangan penggodaman paling mengganggu yang pernah menimpa Amerika Syarikat dan Eropah dalam ingatan terkini.

Pada 2023, penggodam yang dikaitkan dengan kumpulan itu menceroboh syarikat permainan MGM Resorts dan Caesars Entertainment, yang sebahagiannya melumpuhkan kasino dan menyebabkan mesin slot tidak dapat berfungsi.

Awal tahun ini, kumpulan itu mengganggu operasi peruncit British. Sasaran terbaharu mereka termasuk industri insurans di Amerika Syarikat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita