Skip to main content

Dunia

Syarikat Ryanair mohon maaf tersilap letak penumpang dalam 'senarai hitam'

Anggaran Waktu Membaca:
DUBLIN: Sebuah syarikat penerbangan di Ireland meminta maaf selepas meletakkan nama seorang lelaki dalam senarai larangan menaiki pesawat, lapor saluran berita Fox News pada Khamis (8 Jan).

Dalam perbicaraan di sebuah mahkamah tinggi, syarikat Ryanair mengaku tersilap meletakkan Eoin Michael Cahill dalam senarai larangan selepas didakwa menampilkan tingkah laku yang mengganggu penumpang lain.

Apabila mengetahui tuduhan tersebut, Cahill bertindak menyaman syarikat penerbangan itu kerana memfitnahnya.

Cahill bekerja di syarikat kejuruteraan Jones Engineering Group dan kerap melakukan perjalanan dari Ireland ke Denmark atas tujuan kerja.

Dalam satu penerbangan pada 2 Januari lalu, seorang penumpang tidak dikenali didakwa mengganggu kakitangan sehingga mendorong campur tangan polis.

Ryanair berkata, Cahill tersilap dikenal pasti sebagai penumpang tersebut dan syarikat penerbangan itu meletakkan namanya dalam senarai larangan menaiki pesawat.

Menurut Cahill, Ryanair turut memfitnahnya dengan memberitahu majikannya tentang senarai tersebut.

Tindakan itu didakwa menjejaskan reputasi profesionalnya.

Selepas memohon maaf, Ryanair menawarkan untuk membayar yuran guaman Cahill sebagai tambahan kepada pampasan berjumlah kira-kira AS$10,700 (S$14,400).

Kes itu ditutup pada Selasa lalu.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita