Skip to main content

Dunia

Syarikat perniagaan Kluang mula raih kesan limpahan positif SEZ JB-SG

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat perniagaan Kluang mula raih kesan limpahan positif SEZ JB-SG

Kilang kopi Kluang Coffee Powder Factory. (Gambar: Facebook/Kelvin Ang)

JOHOR BAHRU: Syarikat-syarikat perniagaan sedang membuat persiapan untuk bertapak di Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura dengan beberapa bandar di Johor sudah mula merasakan kesan positifnya.

Kluang, sebagai contoh, semakin meraih tumpuan dengan syarikat-syarikat merancang untuk meluaskan perniagaan.

Loji pemprosesan serbuk kopi di Kluang, di bahagian tengah Johor, mula meraih manfaat daripada SEZ yang dilancarkan awal tahun ini.

Pemilik generasi ketiganya, Encik Goh Yong Kian, menjangkakan permintaan meningkat bagi salah satu jenama kopinya pada bulan-bulan mendatang.

Ramai pelanggannya - iaitu kedai kopi, kantin dan kafe dalam SEZ - menyaksikan lonjakan pada jumlah pelawat Singapura, sekali gus meningkatkan lagi tempahan bagi kopi panggang tempatan.

Walaupun kilangnya terletak di pinggir SEZ, kesan yang diraih cukup jelas.

Ini mendorong Encik Goh untuk meluaskan operasi bagi memenuhi permintaan yang berkembang.

"Apabila SEZ mula beroperasi, ramai rakyat Singapura dan warga asing akan datang ke Johor Bahru.

"Mereka akan membantu kedai-kedai kopi tempatan dan kemudian kami akan meraih sedikit manfaat daripadanya kerana perniagaan mereka akan bertambah baik dan mungkin menggunakan lebih banyak serbuk kopi.

"Jadi maka itu, perniagaan kami juga akan meningkat," kata Encik Goh, yang juga pengurus besar syarikat Kluang Coffee Powder Factory.

Firma logistik, SSAT, juga meraih kesan limpahan SEZ, dengan kenaikan ketara pertanyaan tentang perniagaannya.

Pengurus Besar SSAT Lee Hui Ting berkata: "Kami boleh lihat nombor telefon dan alamat emel mereka semuanya dari Singapura. Sebelum ini, tidak begitu banyak.

"Namun selepas pengumuman SEZ, kami perhatikan pertanyaan semakin bertambah - tidak sampai 50 peratus tetapi mungkin 30 peratus berbanding sebelumnya."

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menamakan Kluang sebagai bandar satelit utama untuk menyokong pembangunan zon ekonomi tersebut.

Johor malah menambah baik jalan-jalan raya dan khidmat kereta apinya untuk meningkatkan keterhubungan.

Cik Lee menambah: "Jalan raya utama dan semua prasarana lain sedang dinaik taraf. Jadi ini lebih mudah bagi penyedia logistik.

"Jadi di Kluang, kami perhatikan semakin banyak gudang serta kilang disewa dan anda boleh lihat pembangunan di sekelilingnya begitu ketara."

Meskipun berpandangan positif, syarikat-syarikat perniagaan masih dibelenggu cabaran.

Dewan Perusahaan dan Perniagaan Cina Kluang membangkitkan keprihatinan tentang kos sara hidup yang meningkat serta kemungkinan beban prasarana.

Lantaran itu, ia menggesa sebuah pasukan bertindak khas untuk memastikan pertumbuhan Kluang sejajar dengan peluang-peluang yang hadir bersama SEZ.

Matlamatnya adalah untuk membangunkan sebuah Kluang yang lebih makmur, dengan warisan unik dan pesona bandar kecil itu terus terpelihara.
Sumber : CNA/FZ/NY/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita