Syarikat pengeluar ais di M'sia tiada alasan naikkan harga
Syarikat pengeluar ais tidak mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan harga di pasaran, menurut Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob.
(Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Syarikat pengeluar ais tidak mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan harga di pasaran, menurut Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob.
Mengulas laporan mengenai peningkatan harga sebungkus ais sebanyak RM0.50 (S$0.16) bermula hari ini (1 Dis), Encik Ismail Sabri berkata kenaikan tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan masih mengekalkan tarif air dan elektrik ketika ini.
“Harga ais tidak sepatutnya naik kerana kerajaan beri kemudahan bekalan air dan elektrik pada harga murah, tiada kenaikan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga barangan keperluan di MyFarm Outlet Kasih hari ini.
Sambil membanding alasan di sebalik kenaikan harga roti yang berpunca daripada peningkatan harga gandum, Encik Ismail Sabri berkata: “Negara kita tidak tanam gandum, kita import gandum. Jadi ia beri kesan pada harga roti.”
Menyusuli rungutan pelbagai pihak, Encik Ismail Sabri mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan kajian terperinci berhubung faktor kos pengeluaran.
"Kita (kerajaan) mahu maklumat bagi harga kos di setiap rantaian bekalan.
"Kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan peningkatan harga barangan keperluan disebabkan faktor kos pengeluaran," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.