Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Syarikat penerbangan berdepan 'risiko tinggi' terbang melalui Rusia: Agensi EU

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat penerbangan berdepan 'risiko tinggi' terbang melalui Rusia: Agensi EU

(Gambar fail: Handout / Kazakhstan's emergency situations ministry / AFP)

Diterbitkan : 10 Jan 2025 05:48PM Dikemas Kini : 10 Jan 2025 05:51PM
PARIS: Pesawat Azerbaijan Airlines yang ditembak jatuh menunjukkan bahawa melakukan penerbangan melalui Rusia menimbulkan "risiko tinggi" kepada penerbangan awam di tengah-tengah perang di Ukraine, menurut Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) pada Jumaat (10 Jan).

Dalam satu buletin keselamatan, EASA menyatakan konflik itu "menimbulkan risiko pesawat awam disasarkan secara tidak sengaja di ruang udara Persekutuan Rusia, disebabkan kemungkinan kekurangan penyelarasan awam-tentera, dan boleh menyebabkan kesilapan dalam mengenal pasti pesawat."

Agensi itu kini menyarankan agar syarikat penerbangan mengelakkan penerbangan melalui ruang udara barat Rusia.

Rusia telah mengharamkan syarikat penerbangan EU daripada terbang melalui ruang udaranya tetapi syarikat penerbangan dari China, Turki, negara-negara Teluk dan negara-negara lain masih dibenarkan.

Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev berkata pesawat penumpang Azerbaijan Airlines, yang terhempas di Kazakhstan pada 25 Disember dan mengorbankan 38 orang, ditembak "dari lapangan" di bandar Grozny, Rusia, di mana pesawat itu sepatutnya mendarat.

Rusia menyatakan sistem pertahanan udaranya berfungsi pada masa itu untuk menangkis dron Ukraine, tetapi enggan menyatakan bahawa pihaknya menembak jatuh pesawat itu.

EASA menyatakan pengaktifan sistem pertahanan udara Rusia untuk menangkis peluru berpandu dan dron Ukraine yang dilancarkan ke Rusia "mungkin memberi kesan langsung kepada operasi penerbangan di beberapa lokasi, termasuk lapangan terbang antarabangsa utama."

"Kebanyakan insiden berlaku di ruang udara yang tidak ditutup oleh Persekutuan Rusia semasa serangan dron atau pengaktifan sistem pertahanan udara," menurut buletin itu.

"Ini menimbulkan risiko tinggi kepada operasi penerbangan, seperti yang dibuktikan dalam insiden yang melibatkan penerbangan 8243 Azerbaijan Airlines pada 25 Disember 2024."
Sumber : AFP/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan