Syarikat penerbangan Amerika Syarikat batal 1,500 penerbangan akibat kekurangan pengawal trafik udara
Pesawat American Eagle terbang melepasi menara kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbor, 8 Nov 2025. (Gambar: AP/Ross D Franklin)
Beribu-ribu penerbangan dilengahkan, sekali gus menyebabkan masalah perjalanan semakin memburuk apabila lebih banyak pengawal trafik udara tidak hadir akibat penutupan operasi pemerintah persekutuan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada Sabtu (8 Nov) melaporkan masalah besar berkaitan isu kakitangan pengawal trafik udara, yang menjejas 42 menara lapangan terbang dan pusat lain.
Ia sekali gus melengahkan penerbangan di sekurang-kurangnya 12 bandar utama Amerika Syarikat, termasuk Atlanta, Newark, San Francisco, Chicago dan New York.
Sekitar 6,000 penerbangan dilengahkan pada Sabtu, turun berbanding Jumaat (7 Nov) apabila 7,000 penerbangan dilengahkan dan 1,025 dibatalkan.
FAA mengarahkan syarikat penerbangan untuk mengurangkan empat peratus penerbangan harian bermula Jumaat di 40 lapangan terbang utama atas kebimbangan keselamatan pengawal trafik udara.
Penutupan operasi pemerintah, yang kini mencapai rekod 39 hari, menyebabkan kekurangan pengawal trafik udara yang, seperti pekerja persekutuan lain, belum menerima gaji selama beberapa minggu.
Pengurangan penerbangan dijangka meningkat kepada enam peratus pada Selasa (11 Nov) dan seterusnya mencapai 10 peratus menjelang 14 November.
Sepanjang penutupan operasi pemerintah, 13,000 pengawal trafik udara dan 50,000 pemeriksa keselamatan terpaksa bekerja tanpa gaji, menyebabkan peningkatan dalam jumlah ketidakhadiran.
Ramai pengawal trafik udara diberitahu pada Khamis bahawa mereka tidak akan menerima bayaran untuk tempoh gaji kedua berturut-turut minggu depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.