Syarikat pemula Siklus di Jakarta tawar produk pembersihan tanpa bungkusan plastik
Hanya beberapa jam selepas menggunakan satu aplikasi mudah alih untuk memesan cecair basuh pinggan, penduduk Jakarta, Juweriah, membuka pintunya kepada seorang pekerja penghantaran yang membonceng motosikal.

Seorang pekerja memegang bekas pemancut berisi cecair pembersihan di pejabat Siklus sebelum berangkat ke rumah-rumah pelanggan. (Gambar: Ajeng Dinar Ulfiana/REUTERS)
JAKARTA: Hanya beberapa jam selepas menggunakan satu aplikasi mudah alih untuk memesan cecair basuh pinggan, penduduk Jakarta, Juweriah, membuka pintunya kepada seorang pekerja penghantaran yang membonceng motosikal.
Namun, pekerja penghantaran itu tidak menyerahkan beg berisi barangan yang dipesan sebaliknya, mengisi cecair basuh pinggan langsung di dapur Juweriah.

Suri rumah berusia 38 tahun itu sebenarnya memanfaatkan satu perniagaan mesra alam yang kian meningkat di Indonesia, negara kedua terbesar di dunia yang menyumbangkan kepada pencemaran plastik di lautan.
Juweriah memesan barangan melalui Siklus, sebuah syarikat pemula yang menyediakan produk-produk pembersihan dan berkaitan kebersihan tanpa bungkusan plastik untuk rumah dan perniagaan di Jakarta.
"Kami boleh mengisi semula (botol) dan mengurangkan jumlah sisa plastik bagi bahan cuci," ujar Juweriah. "Jiran tetangga juga sudah ikut sama."
Siklus, dilancarkan pada 2019, menyasarkan untuk mengurangkan pembelian produk yang diisi dalam uncang atau "sachet". Produk dalam bungkusan seperti itu biasa digunakan terutamanya dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah. Siklus bererti 'kitaran' dalam Bahasa Indonesia.
Uncang sekali pakai, yang dijual pada harga 800 rupiah (S$0.07), memberikan sesetengah daripada golongan paling miskin di Asia itu akses kepada produk keperluan harian bagi rumah. Walau bagaimanapun, ia juga menjana jumlah besar sisa yang menyebabkan saluran air dan lautan tersumbat.
Menurut satu laporan oleh Bank Dunia pada Mei, Indonesia menjana sekitar 7.8 juta tan sisa plastik setiap tahun dengan 4.9 tan daripadanya tidak diurus dengan sebaiknya. Berdasarkan laporan tersebut, prasarana pengumpulan dan pengurusan sisa yang terhad adalah salah satu masalah utamanya.
Ketua Eksekutif Siklus Jane von Rabenau, 28 tahun, berkata respons kepada produk itu positif sejauh ini dengan syarikatnya menyaksikan jumlah pelanggan meningkat sekitar 15 peratus pada setiap minggu.
"Orang ramai selalu memberitahu saya 'anda tidak akan pernah mengubah tingkah laku, rakyat Indonesia tidak peduli' tapi saya rasa tidak begitu," ujarnya.
"Saya rasa rakyat Indonesia dari semua kelas, mereka sedar tentang masalah plastik itu dan mereka peduli tentang negara mereka, mereka peduli untuk menjadikannya lebih baik."
Pemilik gerai makanan di Jakarta, Husaifah, tertarik dengan Siklus kerana ia menawarkan produk berharga rendah selain manfaatnya ke atas persekitaran. Dengan tidak menggunakan bungkusan, syarikat itu mampu mengurangkan kos dengan ketara.
"Ia praktikal," kata Husaifah. "Harganya rendah dan kami tidak perlu keluar, ia datang kepada kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.