Skip to main content

Dunia

Syarikat farmaseutikal di M'sia jangka permintaan produk Vitamin C meningkat

Syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia, Duopharma Biotech Bhd menjangka permintaan yang meningkat terhadap rangkaian Vitamin C keluarannya berikutan tahap kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia yang semakin tinggi semasa pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat farmaseutikal di M'sia jangka permintaan produk Vitamin C meningkat

Gambar hiasan makanan tambahan Vitamin C dilarutkan dalam air (Gambar: Pixabay/ivabalk)

Diterbitkan : 19 Aug 2020 01:01PM Dikemas Kini : 19 Aug 2020 01:10PM

KUALA LUMPUR: Syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia, Duopharma Biotech Bhd menjangka permintaan yang meningkat terhadap rangkaian Vitamin C keluarannya berikutan tahap kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia yang semakin tinggi semasa pandemik COVID-19.

Menurut syarikat itu, jualan Vitamin C di bawah perniagaan Penjagaan Kesihatan Penggunanya (CHC) telah mengatasi jualan makanan tambahan lain dan produk yang boleh diperoleh di farmasi, menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah pendapatan kumpulan.

“Di bawah perniagaan CHC, jualan rangkaian Vitamin C Duopharma Biotech di bawah jenama Flavettes dan Champs terus berjaya semasa tempoh pandemik COVID-19 berikutan kesedaran yang tinggi dalam kalangan pengguna untuk menguatkan sistem imun mereka.

“Bagaimanapun, pasukan perniagaan CHC sentiasa proaktif bagi membolehkan semua produk di bawah perniagaan CHC dapat menyumbang secara sama rata kepada jumlah pendapatan kumpulan,” katanya kepada Bernama ketika mengulas mengenai peningkatan permintaan dan penjualan Vitamin C sejak penularan COVID-19.

BEKALAN VITAMIN C MENCUKUPI

Mengenai bekalan Vitamin C, syarikat itu yang mempunyai tiga teras perniagaan turut memberi jaminan bahawa pada masa ini mereka mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan yang meningkat.

“Semua jenama Vitamin kami dihasilkan di kilang yang terletak di Bangi, Selangor. Pasukan pengilangan dan pemasaran Duopharma Biotech saling bekerjasama untuk memastikan bahan mentah dan bahan pembungkusan mencukupi untuk memenuhi permintaan terhadap produk Vitamin C yang meningkat,” katanya.

Tiga teras perniagaan Duopharma Biotech ialah produk etikal klasik (ubat–ubatan preskripsi yang dibekalkan secara terus kepada hospital); produk etikal khas (ubat-ubatan preskripsi yang tertumpu kepada empat jenis penyakit iaitu barah, buah pinggang, jantung dan kencing manis yang dibekalkan terus kepada hospital) dan produk CHC (produk makanan tambahan dan vitamin yang dibekalkan kepada farmasi, kedai berlesen seperti pasar raya dan sebagainya).

PERMINTAAN TUMBUH PESAT, PEMBEKAL DIPELBAGAI: SHOOPEE

Sementara itu, wadah e-dagang utama di Malaysia, Shopee turut mengakui bahawa Vitamin C antara produk paling laris dalam kategori makanan tambahan di platformnya, yang menyaksikan pertumbuhan yang pesat sejak penularan COVID-19.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata jualan yang meningkat menunjukkan pengguna mengambil langkah-langkah proaktif ke arah kesejahteraan mereka.

“Kami telah menyaksikan peningkatan permintaan yang ketara sebanyak 50 peratus untuk makanan tambahan kesihatan seperti Vitamin C sejak penularan COVID-19, berbanding tempoh sebelum pandemik.

“Corak tata laku pengguna ini termasuklah permintaan yang meningkat terhadap vitamin kanak-kanak seperti chewable, berikutan ibu bapa komited untuk meningkatkan sistem imun anak-anak mereka terutamanya sekarang apabila sekolah telah dibuka semula,” katanya.

Encik Ho berkata mereka bekerjasama dengan pembekal daripada pelbagai saluran termasuk farmasi dan jenama rasmi untuk memastikan bahawa terdapat bekalan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan terhadap makanan tambahan kesihatan.

Selain itu, katanya amalan ini telah dilakukan bukan hanya baru-baru ini, tetapi sejak peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha menyediakan rakyat Malaysia dengan produk berkaitan kesihatan untuk membantu mereka menjaga kesihatan.

“Semasa tempoh PKP, jenama vitamin telah diberi lebih banyak pendedahan dan ditampilkan melalui kempen yang diselaraskan, bersama dengan makanan tambahan penting lain.

“Ini untuk memberi maklumat yang lebih baik kepada rakyat Malaysia dan memudahkan mereka untuk membeli produk ini daripada platform tersebut berikutan negara mengamalkan penjarakan fizikal untuk membendung penularan COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun, Encik Ho berkata sebagai wadah e-dagang, Shopee terus komited untuk membantu pengguna menghadapi tempoh mencabar ini dan ke arah pemulihan.

“Kami melakukannya melalui pelbagai inisiatif dengan bekerjasama dengan penjual, rakan kongsi dan agensi kerajaan untuk memastikan produk penting dapat diakses oleh semua orang memandangkan kita menyesuaikan dengan normal baharu.

“Kami amat menghargai minat dalam bidang ini. Bagaimanapun, tumpuan kami kekal memastikan rakyat Malaysia mendapat akses yang mudah terhadap produk yang mereka perlukan, terutamanya dalam tempoh ini,” katanya. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita