Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Syarikat cetak wajah artis pada kulit depan al-Quran sedang dikesan

Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan senaskah al-Quran dengan cetakan wajah artis pada kulit muka hadapan yang dilihat mencemarkan kesucian kitab itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat cetak wajah artis pada kulit depan al-Quran sedang dikesan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 28 Aug 2019 03:07PM Dikemas Kini : 28 Aug 2019 03:09PM

ALOR SETAR: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan senaskah al-Quran dengan cetakan wajah artis pada kulit muka hadapan yang dilihat mencemarkan kesucian kitab itu.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Pengawalseliaan Hadith, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Kamaldin Mohd Damin berkata al-Quran itu dikesan di ibu negara pada akhir tahun lalu dan pihaknya sedang menjejaki syarikat yang bertanggungjawab mencetak kulit muka hadapannya.

“Ia adalah kes terpencil, namun perlu diberi perhatian serius dan pemantauan berterusan bagi memelihara kesucian kitab umat Islam itu walaupun difahamkan ia hanya ada satu sahaja dan dijadikan sebagai ‘hadiah’. Namun, masyarakat harus sedar ia tidak boleh dilakukan.

“KDN juga merampas al-Quran yang dicetak dalam tulisan rumi kononnya bagi memudahkan golongan yang tidak tahu membaca tulisan Arab termasuk mualaf, namun ia menjadi kesalahan kerana pembaca akan membaca dengan sebutan yang salah yang membawa maksud salah,” jelas Encik Kamaldin selepas merasmikan Seminar Pemuliaan al-Quran dan Rasm Uthmani di Alor Setar, Kedah, pada Selasa (28 Ogos).

Mengulas lanjut, Encik Kamaldin berkata pihaknya turut mengesan naskah al-Quran yang dicetak tidak mengikut kaedah penulisan dan penandaan ‘rasm Uthmani’ seperti mana yang diguna pakai di Arab Saudi dan diamalkan umat Islam di Malaysia.

Beliau menerangkan kebanyakan al-Quran itu menggunakan ‘mushaf Imla’i’ yang tidak sesuai digunakan secara terbuka kerana boleh menyebabkan wujud beberapa kekeliruan dari segi pembacaan.

“Al-Quran jenis ini banyak dicetak di Indonesia dan Thailand dengan reka bentuk serta warna yang menarik lagi berinovasi. Ia dijual secara dalam talian dan ada yang dibawa masuk ke negara ini oleh ejen dari negara berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, KDN kini giat bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengetatkan kawalan dan akan merampas al-Quran yang meragukan serta tiada kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan al-Quran di setiap pintu masuk negara.

“Jika al-Quran itu dibawa masuk oleh ejen, ejen berkenaan perlu berpatah balik kembali ke negara asal dengan al-Quran yang dibawa. Namun, jika tiada ejen, kita akan rampas al-Quran itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dari segi maksud,” ujarnya lanjut. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan