Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Syarikat batik Malaysia Raifili anjur kempen 1 juta batik percuma buat penjawat awam

Pengasas Raifili, Siti Fitriyah Harun berkata kempen itu bagi menyokong hasrat dan usaha Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob, yang mengisytiharkan 3 Dis setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
ALOR SETAR: Syarikat pengeluar batik moden tempatan Raifili menyediakan satu juta batik percuma kepada penjawat awam, menerusi kempen ‘1 Juta Batik Percuma buat Penjawat Awam’ yang dilancarkan secara rasmi pada Jumaat (2 Sep).

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata usaha berkenaan, dapat menggalakkan pemakaian Batik Malaysia dalam kalangan penjawat awam menggayakan keunikan dan keindahan batik dalam kehidupan harian, yang tidak terhad kepada pakaian rasmi majlis dan kerja sahaja.

“Permintaan batik adalah begitu tinggi dalam kalangan penjawat awam, penjawat awam diwajibkan memakai batik pada setiap Khamis bagi tujuan memartabatkan pemakaian batik Malaysia.

“Ketua-ketua jabatan juga boleh menguar-uarkan kempen yang dilaksanakan Raifili ini, untuk mempromosi dan menggalakkan pemakaian Batik Malaysia,” katanya ketika melancarkan kempen itu, bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.

Pengasas Raifili, Siti Fitriyah Harun berkata menerusi kempen berkenaan, syarikat itu menyokong hasrat dan usaha Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob, yang mengisytiharkan 3 Dis setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bagi menggalakkan Keluarga Malaysia memakai pakaian Batik Malaysia.

“Raifili ingin berkongsi kegembiraan dengan penjawat awam dan mengharapkan agar kempen ini dapat menjadikan Batik Eksklusif Raifili yang bermotifkan Batik Moden Malaysia, sebagai pilihan utama fesyen penjawat awam.

“Sejak pelancaran dalaman kempen dibuat pada Mac tahun ini, lebih 300,000 penjawat awam telah menerima batik percuma ini, dan ramai yang memuji material kain Batik Eksklusif Raifili ini lembut, cantik, selesa dipakai, warna tak luntur, tak mudah kedut dan mudah digosok,” katanya.

Beliau berkata berbaki hampir 700,000 helai kain batik percuma boleh ditebus, penjawat awam yang belum menebus dan menerima batik percuma boleh membuat penebusan melalui pautan www.1jutabatikpercuma.raifili.com atau menghubungi pengedar sah Raifili di seluruh Malaysia.

Sebanyak 1,000 helai batik ditawarkan untuk ditebus penjawat awam yang mengunjungi Jelajah AKM Negeri Kedah hari ini.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan