Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Swafoto siswa Indonesia raih pulangan lumayan AS$1 juta dijual di NFT

Seorang mahasiswa universiti Indonesia menjadi perbualan hangat di Internet selepas menjual hak digital swafotonya lebih AS$1 juta (S$1.3 juta) di wadah perdagangan NFT yang menggunakan mata wang kripto.

Anggaran Waktu Membaca:
Swafoto siswa Indonesia raih pulangan lumayan AS$1 juta dijual di NFT

Petikan skrin dari laman.

Diterbitkan : 15 Jan 2022 11:19AM Dikemas Kini : 15 Jan 2022 11:19AM

SEMARANG: Seorang mahasiswa universiti Indonesia menjadi perbualan hangat di Internet selepas menjual hak digital swafotonya lebih AS$1 juta (S$1.3 juta) di wadah perdagangan NFT yang menggunakan mata wang kripto.

Sultan Gustaf Al Ghozali yang menuntut dalam bidang sains komputer di sebuah universiti di Semarang, memetik gambar dirinya sedang duduk di depan komputer hampir setiap hari sepanjang lima tahun lalu.

Beliau berhasrat untuk menggunakan koleksi hampir 1,000 swafoto itu untuk menghasilkan video sempena hari konvokesyen kelak.

Namun selepas mempelajari tentang teknologi 'blockchain', siswa berusia 22 tahun itu memutuskan untuk memuat naik gambar-gambarnya ke wadah perdagangan NFT, OpenSea di bawah tajuk "Ghozali Everyday" ("Ghozali Setiap Hari").

"Saya fikir ia mungkin lucu jika ada yang mahu mengumpul gambar saya," kata Ghozali kepada wartawan ketika ditemui di kampus universitinya pada Khamis (13 Jan).

"Saya tidak fikir ada orang yang akan membeli swafoto itu. Sebab itu saya hanya meletakkan AS$3 (S$4.04)," katanya.

Namun pada Jumaat (14 Jan), salah satu daripada gambar swafoto itu dijual pada 0.247 mata wang kripto atau AS$806 (S$1,086) setelah permintaan baginya melonjak.

NFT mengubah barangan digital seperti ilustri dan 'meme' kepada barangan buat pengumpul barangan maya yang tidak boleh disalin semula.

Ghozali mula memuat naik gambar swafotonya pada lewat Disember namun perjualannya bertambah rancak selepas seorang cef selebriti membeli beberapa gambarnya pada minggu lalu dan mempromosikan gambar Ghozali di laman media sosialnya.

Dalam tempoh beberapa hari seterusnya, lebih 400 orang membeli hak milik gambar yang tidak menunjukkan sebarang raut emosi pemuda itu.

Setakat petang Jumaat, koleksi gambar Ghozali mencapai nilai dagangan sebanyak 317 eter, iaitu bersamaan dengan lebih AS$1 juta (S$1.3 juta).

"Sejujurnya, saya masih belum berani untuk beritahu ibu bapa saya, kerana mereka pasti hairan dari mana saya dapat wang sebanyak itu," seloroh Ghozali.

Di akaun Twitternya di mana beliau mempunyai lebih 16,000 pengikut, mahasiswa itu sering berkongsi perkembangan tentang statistik OpenSea beliau.

"Hari ini (saya) jual lebih 230+ (swafoto) dan sehingga kini saya tidak faham mengapa anda mahu beli gambar #NFT saya!! Namun terima kasih kepada anda semua kerana usaha saya sepanjang lima tahun lalu berbaloi", katanya dalam catatan Twitter pada Selasa.

Ghozali yang bercita-cita untuk membuka studio animasinya sendiri pada suatu hari kelak, berkata beliau merancang untuk melaburkan wang itu dan terus mengambil gambar swafoto setiap hari sehingga pengajiannya selesai.

Sumber : AFP/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa