Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek serangan tikaman di Kanada ditemui mati, adiknya masih diburu

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek serangan tikaman di Kanada ditemui mati, adiknya masih diburu

Damien Sanderson (kiri), Myles Sanderson (kanan) (Gambar: Royal Canadian Mounted Police Saskatchewan/AFP)

Diterbitkan : 06 Sep 2022 08:14AM Dikemas Kini : 06 Sep 2022 08:14AM

JAMES SMITH CREE NATION: Polis Kanada menemui mayat salah seorang daripada suspek insiden tikaman besar-besaran pada Isnin (5 Sep), manakala  adiknya, masih lagi bebas dan sedang diburu, lapor Reuters.

Adik-beradik itu disyaki membunuh 10 orang dan mencederakan 18 lagi dalam insiden tikaman di Saskatchewan pada Ahad (4 Sep). 

Serangan itu antara yang paling mengerikan dalam sejarah moden Kanada. Polis menyatakan beberapa mangsa dipercayai menjadi sasaran,  manakala yang lain pula diserang secara rambang.

Damien Sanderson, 31 tahun, ditemui mati di James Smith Cree Nation, manakala adiknya, Myles Sanderson, 30 tahun, "mungkin cedera" dan sedang mendapatkan rawatan perubatan, kata Rhonda Blackmore, Penolong Pesuruhjaya  Royal Canadian Mounted Police (RCMP), dalam satu sidang media. 

Dengan kematian seorang saudara lelaki Sanderson dan kecederaan kepada seorang lagi, jumlah mangsa yang maut kini adalah 11 orang manakala 19 cedera, tambah Cik Blackmore. 

Mayat Damien Sanderson ditemui di kawasan rumput di luar sebuah rumah yang sedang diperiksa, katanya. 

"Kami boleh mengesahkan ketika ini bahawa dia mengalami kecederaan yang dipercayai tidak dilakukan sendiri," dedah Cik Blackmore tanpa memberi perincian tentang punca kecederaan berkenaan. 

Ditanya sama ada Myles Sanderson disyaki membunuh abangnya, Cik Blackmore berkata, "Kami belum dapat mengesahkan perkara tersebut. Kami tidak boleh mengatakan sama ada Myles terlibat dalam kematian Damien." 

Cik Blackmore juga memberi amaran bahawa polis masih menganggap Myles Sanderson sebagai berbahaya dan satu ancaman kepada masyarakat awam, walaupun dia cedera. 

"Myles mempunyai rekod jenayah melibatkan kedua-dua jenayah terhadap orang dan hartanah. Kami menganggap dia bersenjata dan berbahaya. Jangan mendekatinya," tegas Cik Blackmore. 

CBC News melaporkan bahawa polis di bandar Saskatchewan, Saskatoon mencari Myles Sanderson sejak Mei, apabila dia berhenti bertemu dengan pegawai parolnya selepas menjalani hukuman bagi serangan, rompakan, perbuatan nakal dan memeras ugut. 

Perdana Menteri Justin Trudeau menyifatkan serangan itu sebagai "mengejutkan dan amat menyayat hati" dan berkata beliau sudah berbincang dengan pemimpin James Smith Cree Nation dan Ketua Saskatchewan Scott Moe untuk mengikrarkan sokongan pemerintahnya. 

"Pemerintah persekutuan akan memberikan sumber-sumber yang diperlukan pada waktu krisis ini, tetapi kami juga akan terus bekerjasama dalam minggu, bulan dan tahun akan datang untuk membantu proses pemulihan," kata Encik Trudeau di Lapangan Terbang Ottawa, sebelum kembali ke Vancouver untuk bertemu dengan menteri Liberal. 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa