Skip to main content

Dunia

Suspek serangan Bondi muncul di mahkamah buat pertama kali

Suspek serangan Bondi, Naveed Akram, 24 tahun, buat pertama kali muncul di mahkamah melalui pautan video dari penjara untuk menghadapi 59 pertuduhan, termasuk pembunuhan dan kesalahan berkaitan keganasan.
Anggaran Waktu Membaca:
Suspek serangan Bondi muncul di mahkamah buat pertama kali

Petikan skrin daripada rakaman video pada lewat Oktober 2025 menunjukkan Naveed Akram dipercayai melepaskan tembakan dan bergerak ke arah kawasan luar bandar, disyaki di New South Wales, dalam gambar bukti mahkamah yang diterbitkan sebagai sebahagian daripada kertas fakta polis pada 22 Dis 2025. (Gambar: Handout via AFP/NSW Courts)

Diterbitkan : 16 Feb 2026 11:13AM Dikemas Kini : 16 Feb 2026 11:16AM
SYDNEY: Suspek serangan Bondi, Naveed Akram, 24 tahun, buat pertama kali muncul di mahkamah melalui pautan video dari penjara untuk menghadapi 59 pertuduhan, termasuk pembunuhan dan kesalahan berkaitan keganasan.

Akram didakwa melakukan serangan pengganas paling dahsyat dalam sejarah Australia pada 14 Disember lalu, apabila 15 orang terbunuh dan 40 lagi cedera dalam serangan ketika sambutan Hannukah di Pantai Bondi.

Dalam serangan tersebut, Akram dan bapanya, Sajid Akram, 50 tahun, didakwa melempar tiga bom paip berisi bebola keluli dan satu bom 'tennis ball' sebelum melepaskan tembakan ke arah orang ramai.

Namun, menurut analisis awal polis, tiada bom paip yang meletup walaupun berada dalam keadaan berfungsi, menurut laporan Astro Awani.

Bapanya ditembak mati oleh polis semasa insiden berkenaan.

Ketika prosiding di Mahkamah Tempatan Downing Centre, Akram memakai baju penjara berwarna hijau, dengan rambut dicukur dan masih mengekalkan janggut penuh seperti ketika serangan berlaku.

Prosiding berlangsung ringkas, kecuali apabila Timbalan Ketua Majistret, Sharon Freund, bertanya kepadanya:
“Adakah awak dengar apa yang saya katakan tadi?” - selepas mengesahkan lanjutan perintah larangan penerbitan bagi melindungi identiti mangsa.

Perintah itu membolehkan mangsa dan saksi memilih sama ada ingin mendedahkan identiti mereka, seperti yang dilakukan oleh beberapa yang terselamat termasuk Arsen Ostrovsky dan Ahmed Al Ahmed, seorang pekedai yang bertindak berani cuba melucut senjata bapa Akram, menurut laporan Astro Awani.

Polis mendakwa 55 orang ditembak termasuk 15 yang maut, antaranya seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, beberapa mangsa Holocaust dan seorang bekas pegawai polis.

Dua bendera ISIS buatan tangan turut ditemui dalam kenderaan suspek, bersama sebuah bom kotak yang belum digunakan.

Akram tidak ditawarkan ikat jamin dan dijadualkan dihadapkan semula mahkamah pada 9 April 2026, seperti dinukil laporan Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita