Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek rempuhan New Orleans bertindak sendirian, sokong ISIS

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek rempuhan New Orleans bertindak sendirian, sokong ISIS

(Gambar: Andrew Caballero-Reynolds/AFP)

Diterbitkan : 03 Jan 2025 07:22AM Dikemas Kini : 03 Jan 2025 07:23AM
NEW ORLEANS: Seorang bekas askar Tentera Amerika Syarikat yang merempuh traknya ke arah orang ramai yang sedang menyambut Tahun Baharu telah mengikrarkan taat setianya kepada ISIS, tetapi bertindak sendirian dalam serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, menurut FBI pada Khamis (2 Jan).

Suspek, yang ditembak mati di tempat kejadian setelah melepaskan tembakan ke arah polis telah dikenal pasti sebagai Shamsud-Din Jabbar, warga Texas berusia 42 tahun, yang pernah berkhidmat di Afghanistan.

Dia memandu dari Houston ke New Orleans pada 31 Dis dan memuat naik lima video ke Facebook antara pukul 1.29 pagi dan 3.02 pagi pada pagi serangan di mana dia berkata dia menyokong ISIS, kumpulan militan dengan para anggotanya di Iraq dan Syria, dedah FBI.

FBI juga mendedahkan bahawa panji ISIS turut ditemui pada kenderaan yang digunakan dalam serangan di New Orleans.

Dalam video pertama, Jabbar menjelaskan dia sebelum ini merancang untuk mencederakan keluarga dan rakan-rakannya, tetapi bimbang bahawa liputan media tidak akan menumpukan perhatian kepada "perang antara orang Islam dan bukan Islam," kata Timbalan Penolong Pengarah FBI Christopher Raia semasa sidang media.

Jabbar juga berkata dalam video bahawa dia telah menyertai ISIS sebelum musim panas lalu, kata Encik Raia.

"Ini adalah satu tindakan pengganasan," kata Encik Raia. "Ia telah dirancang dan satu tindakan jahat."

Para pegawai New Orleans berkata perlawanan ragbi kolej Sugar Bowl yang telah dijadualkan pada Rabu dalam tradisi Tahun Baharu akan berlangsung pada petang Khamis.

Bandar itu juga akan menganjurkan Super Bowl pada bulan depan.

FBI menyatakan bahawa tiada kaitan antara serangan di New Orleans dan letupan di Las Vegas pada hari yang sama di mana sebuah Cybertruck Tesla yang penuh dengan tong petrol dan pelancar bunga api meletup di luar Trump International Hotel di Las Vegas, beberapa minggu sebelum Encik Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada 20 Jan.

Para mangsa yang cedera dalam serangan di New Orleans termasuk dua pegawai polis yang cedera akibat tembakan daripada suspek, yang berlaku hanya tiga jam menjelang tahun baharu di Bourbon Street di French Quarter yang bersejarah.

Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, termasuk suspek, kata FBI.

Antara mangsa ialah ibu kepada seorang kanak-kanak berusia 4 tahun yang baru berpindah ke sebuah apartmen baharu selepas mendapat kenaikan pangkat di tempat kerja, seorang pekerja kewangan di New York dan atlet remaja cemerlang yang pulang ke New Orleans untuk bercuti, dan seorang remaja berusia 18 dari Mississippi yang bercita-cita menjadi seorang seorang jururawat.

Para saksi menggambarkan pemandangan yang mengerikan.

"Terdapat orang di mana-mana," kata Kimberly Strickland dari Mobile, Alabama, dalam temu bual bersama pihak media. "Anda baru sahaja mendengar jeritan dan hentaman yang kuat dan kemudian orang ramai menjerit dan serpihan - hanya logam - bunyi logam dan mayat yang bergelimpangan."

Sementara itu, pihak berkuasa di bandar raya Amerika yang lain menyatakan bahawa mereka telah meningkatkan tahap keselamatan, termasuk di Trump Tower dan Times Square di New York City, sambil menambah bahawa tiada ancaman segera.

Di Washington, polis juga berkata mereka telah meningkatkan kehadiran para pegawai sedang ibu negara itu bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah kepada tiga acara utama bulan ini: Pengesahan Kongres pada 6 Jan bagi kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika, persemadian negara untuk mantan Presiden Jimmy Carter pada 9 Jan dan upacara pelantikan Encik Trump sebagai presiden baharu Amerika pada 20 Jan.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan