Skip to main content

Dunia

Suspek pembunuhan Charlie Kirk sudah ditangkap: Trump

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek pembunuhan Charlie Kirk sudah ditangkap: Trump

Orang ramai meletakkan lilin di bawah gambar Pengarah eksekutif Turning Point USA Charlie Kirk yang ditembak mati pada 11 Sep, 2025, di Orem, Utah. (Gambar: AP/Lindsey Wasson)

Diterbitkan : 12 Sep 2025 10:24PM Dikemas Kini : 12 Sep 2025 10:25PM
OREM, Utah: Presiden Donald Trump pada Jumaat (12 Sep) berkata suspek dalam pembunuhan Charlie Kirk sudah diberkas, sekali gus menandakan kejayaan penting dalam siasatan ke atas pembunuhan terancang itu yang mencetuskan kebimbangan baharu tentang keganasan politik di Amerika Syarikat.

“Dengan tahap kepastian yang tinggi, kami sudah menahannya,” umum Encik Trump dalam satu temu bual secara langsung dengan Fox News pada Jumaat pagi. Beliau berkata seorang paderi yang turut terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang sudah menyerahkan suspek kepada pihak berkuasa.

“Seseorang yang sangat rapat dengannya berkata, ‘Hmm, itu dia,’” kata Encik Trump.

Seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang memberitahu The Associated Press bahawa suspek yang ditahan berhubung pembunuhan Encik Kirk adalah seorang lelaki berusia 22 tahun dari Utah. Pihak berkuasa sudah mengenal pasti suspek sebagai Tyler Robinson, kata pegawai itu, yang tidak diberi kebenaran untuk membincangkan siasatan yang sedang berjalan dan bercakap dengan syarat tidak didedahkan namanya.

Panggilan ke nombor telefon yang disenaraikan untuk Encik Robinson dalam rekod awam tidak dijawab.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman tidak segera memberi sebarang ulasan, namun satu sidang media di Utah, di mana pembunuhan itu berlaku di sebuah kampus kolej minggu ini, dirancang pada lewat Jumaat.

Berita mengenai penangkapan itu timbul beberapa jam selepas FBI dan pegawai negeri meminta bantuan awam dengan mendedahkan gambar-gambar tambahan suspek, satu tindakan yang seolah-olah menunjukkan bahawa penguatkuasa undang-undang tidak pasti di mana keberadaan individu itu.

Encik Kirk dibunuh oleh satu tembakan pada Rabu dalam apa yang dikatakan oleh polis sebagai serangan terancang dan gabenor Utah menyifatkannya sebagai pembunuhan politik. Encik Kirk merupakan pengasas bersama pertubuhan politik bukan keuntungan, Turning Point USA, dan sekutu rapat Encik Trump.

Pihak berkuasa menemui selaras senapang berkuasa tinggi jenis 'bolt-action' berhampiran lokasi kejadian dan berkata penembak itu melompat dari bumbung dan melarikan diri ke dalam hutan selepas insiden tembakan itu.

Encik Kirk sedang berucap di sebuah acara debat yang dihoskan oleh Turning Point di Universiti Utah Valley semasa kejadian tembakan itu berlaku. Beliau dibawa ke sebuah hospital tempatan dan disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

“Beliau mahu membantu golongan muda, dan beliau tidak patut menerima nasib sebegini,” kata Encik Trump pada Jumaat. “Beliau adalah seorang yang sangat baik.”

Para penyiasat persekutuan dan pegawai negeri pada Khamis mendedahkan gambar dan video individu yang mereka percayai bertanggungjawab. Encik Kirk ditembak semasa berucap kepada orang ramai yang berkumpul di sebuah halaman di Universiti Utah Valley di Orem.

Lebih 7,000 petunjuk dan maklumat sudah diterima, kata para pegawai. Pihak berkuasa masih belum menamakan suspek secara terbuka atau menyatakan motif pembunuhan itu, yang merupakan perbuatan keganasan politik terbaharu yang melanda Amerika Syarikat.

VIDEO SERAM DISEBARKAN SECARA ONLINE

Serangan itu, yang berlaku pada siang hari ketika Encik Kirk berucap mengenai isu-isu sosial, dirakam dalam video-video seram yang tersebar di media sosial.

Video-video itu menunjukkan Encik Kirk, yang memainkan peranan penting dalam mengumpulkan pengundi muda Republican, berucap menggunakan mikrofon pegang tangan, apabila tiba-tiba satu tembakan kedengaran. Encik Kirk mengangkat tangan kanannya sedang darah memancut keluar dari sisi kiri lehernya. Para penonton terkejut dan menjerit sebelum orang ramai mula melarikan diri.

Penembak itu, yang para penyiasat percaya menyamar dengan berpakaian seperti pelajar kerana rupa parasnya yang sebaya dengan pelajar kolej, melepaskan satu tembakan dari atas bumbung, menurut pihak berkuasa. Video yang didedahkan pada Khamis menunjukkan individu itu kemudian berjalan melalui rumput dan menyeberangi jalan sebelum menghilang.

“Saya boleh beritahu anda ini adalah acara yang disasarkan,” kata Robert Bohls, ejen FBI tertinggi di Salt Lake City.

Encik Trump, yang disertai oleh Democrat dalam mengecam keganasan itu, berkata beliau akan menganugerahkan Encik Kirk Pingat Kebebasan Presiden, penghormatan awam tertinggi di Amerika Syarikat. Naib Presiden JD Vance dan isterinya, Usha, melawat keluarga Encik Kirk pada Khamis di Salt Lake City. Encik Vance memuat naik satu catatan di X yang menceritakan persahabatan mereka, bermula dengan mesej awal pada 2017, sehinggalah kepada kempen Senat Encik Vance dan pilihan raya 2024.

“Begitu banyak kejayaan yang kami capai dalam pentadbiran ini secara langsung berpunca daripada keupayaan Charlie untuk mengatur dan mengumpulkan orang ramai,” tulis Encik Vance. “Beliau bukan sahaja membantu kami menang pada 2024, beliau membantu kami melantik kakitangan di seluruh kerajaan.”

Keranda Encik Kirk diterbangkan menggunakan Pesawat Air Force Two dari Utah ke Phoenix, di mana pertubuhan belia politik bukan keuntungan beliau, Turning Point USA, berpangkalan. Encik Trump memberitahu para wartawan bahawa beliau merancang untuk menghadiri majlis persemadian Encik Kirk. Butiran lanjut belum diumumkan.
Sumber : Agensi berita/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita