Skip to main content

Dunia

Suspek ketiga rompakan bersenjata mati ditembak polis di Kedah, terkait jenayah bernilai AS$1.4 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek ketiga rompakan bersenjata mati ditembak polis di Kedah, terkait jenayah bernilai AS$1.4 juta

IPD Bukit Aman, ibu pejabat Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 06 Jul 2025 01:27PM Dikemas Kini : 06 Jul 2025 01:29PM
SUNGAI PETANI: Polis menembak mati seorang lagi lelaki disyaki penjenayah yang mempunyai kaitan dengan dua lelaki yang ditembak mati di Jitra pada pagi Jumaat (4 Jul).

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Fadil Marsus berkata suspek berumur 34 tahun itu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Bandar Puteri Jaya, Sungei Petani pada pukul 7.50 malam Sabtu (5 Jul).

“Ini merupakan satu operasi khas yang dilaksanakan oleh polis Bukit Aman dengan beberapa kontinjen negeri melibatkan semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia yang diketuai JSJ.

“Apa yang berlaku hari ini, seorang lelaki yang dianggap sebagai ahli kumpulan yang terlibat dalam jenayah samun bersenjata api di beberapa negeri telah kita jumpai dan usaha untuk menangkapnya telah dijalankan serta berlaku halangan dan kejadian tembak-menembak sehingga menyebabkan penjenayah ditumpaskan,” katanya ketika ditemui para wartawan di tempar kejadian.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui sepucuk pistol dan beberapa barangan lain. 

Encik Fadil berkata suspek mempunyai lebih 30 rekod jenayah dipercayai terlibat dengan kumpulan penjenayah aktif melakukan jenayah samun kedai emas sejak 2022 yang melibatkan kerugian hampir RM6 juta (S$1.8 juta).

Beliau berkata polis percaya suspek turut disyaki terlibat dalam banyak lagi kes samun bersenjata api lain melibatkan kilang, premis perniagaan dan kedai emas di beberapa negeri.

Encik Fadil berkata polis mengesyaki suspek ialah ahli kumpulan penjenayah yang terdiri daripada beberapa belas orang yang aktif melakukan pelbagai jenayah termasuk samun, gengterisme (kumpulan samseng) dan pengedaran dadah di beberapa negeri.

“Setakat risikan yang dilakukan, kita positif suspek ini juga terlibat dalam tiga kes samun yang terbaharu di Melaka, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya.

Encik Fadil berkata pihak polis akan terus bertindak agresif untuk memberkas semua penjenayah yang disyaki terlibat dalam jenayah kekerasan, terutamanya jenayah yang melibatkan senjata api.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pada pagi Jumaat (4 Jul), polis menembak mati dua lelaki disyaki penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di susur Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Bandar Darul Aman di Jitra.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita