Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suspek kes tembakan KLIA cuba larikan diri ke luar negara

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA BHARU: Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Dewan Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 Ahad (14 Apr) pagi,sebelum ditahan di Kota Bharu pada Isnin (15 Apr), dipercayai cuba melarikan diri melalui sempadan Malaysia.

Suspek yang bernama Hafizul Harawi menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk membuat pendaftaran di sebuah hotel dan mengubah plat nombor pendaftaran keretanya untuk mengelak dikesan oleh polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia berdasarkan rekod perjalanan suspek yang sering ke luar negara, selain memiliki pasport serta sejumlah mata wang Riyal dan Baht.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Selasa (16 Apr), beliau berkata polis juga sedang memperhalusi kaedah digunakan suspek dipercayai untuk melarikan diri ke luar negara.

“Rekod perjalanan yang kita kaji sebelum ini memang suspek kerap ke luar negara seperti ke Arab Saudi dan Thailand sebelum masuk ke Malaysia.

“… ya, memang wujud usaha suspek untuk melarikan diri melalui sempadan negara dan kita masih mengumpul maklumat itu,” katanya.

Mengulas mengenai sama ada suspek ada membuat permohonan visa untuk ke luar negara, Encik Mohd Shuhaily berkata perkara itu masih disiasat.

Encik Mohd Shuhaily berkata lelaki itu pergi ke hospital swasta berkenaan untuk mengambil laporan lengkap pemeriksaan kesihatan miliknya yang sudah siap, sebelum ditahan.

Mengulas sama ada lelaki tersebut mempunyai rangkaian lain dalam kes tembak itu, Encik Mohd Shuhaily berkata suspek bergerak secara bersendirian tanpa dibantu individu lain.

“Senjata api dimiliki suspek juga dipercayai diperoleh secara haram dari negara jiran, bagaimana kaedah suspek memperolehnya, kita akan siasat,” katanya.

Encik Mohd Shuhaily menambah pemeriksaan tahap kesihatan mental suspek didapati normal, dan tindakan lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah isterinya, dirancang oleh suspek sendiri.

“Selepas suspek melepaskan tembakan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), lelaki berkenaan tidak ke tempat lain atau tidak berjumpa dengan mana-mana individu untuk meminta bantuan, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Kelantan,” katanya.

Beliau berkata seminggu sebelum kejadian tembak itu, suspek baru sahaja pulang dari Arab Saudi dan seterusnya ke Bangkok, Thailand dan masuk ke Malaysia melalui Kelantan.

Sementara itu, polis turut merampas antaranya sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak mengandungi lapan butir peluru hidup di dalamnya dan sekotak mengandungi 24 butir peluru hidup, sebuah kereta Honda Civic, enam telefon bimbit pelbagai jenama, sejumlah mata wang Riyal dan Baht, serta pasport.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan suspek terlibat dengan kejadian tersebut ditahan pada kira-kira pukul 3 petang, di satu lokasi di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi pada Ahad lalu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengawal peribadi berkenaan sedang dirawat di sebuah hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Polis sebelum ini berusaha mengesan Hafizul Harawi, 38 tahun, bagi membantu siasatan kes berkenaan.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan