Suspek kes rompakan Louvre diberkas
Orang ramai beratur di luar Muzium Louvre di Paris pada Isnin, 20 Oktober 2025, meskipun muzium itu masih ditutup susulan kejadian rompakan barang kemas pada Ahad. (Gambar: AP/Emma Da Silva)
Pendakwa Paris, Laure Beccuau, berkata pada Ahad (26 Okt) bahawa salah seorang lelaki diberkas di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di utara Paris semasa dia bersiap untuk meninggalkan negara itu.
Beliau tidak mendedahkan dalam kenyataannya berapa ramai lelaki yang ditangkap atau memberikan butiran lanjut.
Dua sumber yang mengetahui mengenai siasatan itu turut berkata pada Ahad bahawa pihak berkuasa Perancis menahan dua lelaki yang disyaki menjadi sebahagian daripada kumpulan empat orang yang mencuri barang kemas berharga dari muzium terkenal dunia, Louvre, minggu lalu.
Salah seorang ditahan sekitar pukul 10.00 malam waktu tempatan di lapangan terbang, manakala seorang lagi ditangkap tidak lama kemudian di kawasan Paris, menurut laporan.
Berpuluh-puluh penyiasat ditugaskan untuk menjejaki pencuri yang berjaya merompak Louvre secara terang-terangan pada 19 Oktober dan melarikan diri dengan permata diraja yang dianggarkan bernilai AS$102 juta (S$132.4 juta) hanya dalam masa tujuh minit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.