Suspek kes bunuh Charlie Kirk sudah diberkas, umum Pengarah FBI
Pihak berkuasa siap-sedia lakukan pemeriksaan di Utah. (Gambar fail: AP)
- Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel mengesahkan bahawa suspek utama dalam kes tembakan maut terhadap aktivis konservatif Amerika Syarikat, Charlie Kirk, kini berada dalam tahanan pihak berkuasa tempatan.
- Encik Charlie Kirk, 31 tahun, yang juga pengasas bersama pertubuhan Turning Point USA, ditembak ketika menghadiri acara terbuka di Universiti Utah Valley.
- Insiden tersebut mencetuskan kejutan besar dalam kalangan penyokong gerakan konservatif, dengan Presiden Donald Trump dan Naib Presiden JD Vance segera mengeluarkan kenyataan menggesa rakyat Amerika mendoakan keluarga Encik Kirk.
- Kematian Encik Kirk meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan aktivis politik di kampus universiti, dan pihak FBI dijangka mengeluarkan maklumat lanjut sebaik siasatan selesai.
UTAH: Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel mengesahkan bahawa suspek utama dalam kes tembakan maut terhadap aktivis konservatif Amerika Syarikat, Charlie Kirk, kini berada dalam tahanan pihak berkuasa tempatan.
Encik Charlie Kirk, 31 tahun, yang juga pengasas bersama pertubuhan Turning Point USA, ditembak ketika menghadiri acara terbuka di Universiti Utah Valley.
Beliau dilaporkan terkena tembakan di bahagian leher ketika sedang berucap di bawah khemah bertemakan “The American Comeback Tour”.
Dalam kenyataan rasmi di platform media sosial, Encik Patel berkata: “Individu yang bertanggungjawab dalam insiden tembakan ngeri yang meragut nyawa Charlie Kirk telahpun ditahan. Terima kasih kepada pihak berkuasa wilayah dan tempatan di Utah atas kerjasama mereka dengan FBI”.
Insiden tersebut mencetuskan kejutan besar dalam kalangan penyokong gerakan konservatif, dengan Presiden Donald Trump dan Naib Presiden JD Vance segera mengeluarkan kenyataan menggesa rakyat Amerika mendoakan keluarga Encik Kirk.
Encik Trump menyifatkan Encik Kirk sebagai “tokoh hebat dan legenda” yang amat disayangi, terutama oleh golongan muda.
Setakat ini, identiti suspek belum didedahkan secara rasmi, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan motif di sebalik serangan tersebut.
Pihak berkuasa turut meneliti rakaman video dari tempat kejadian yang menunjukkan Encik Kirk rebah selepas terkena tembakan, sebelum dibawa keluar oleh pasukan keselamatan peribadinya.
Kematian Encik Kirk meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan aktivis politik di kampus universiti, dan pihak FBI dijangka mengeluarkan maklumat lanjut sebaik siasatan selesai.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.