Skip to main content

Dunia

Suspek kejadian tembakan di Washington didakwa cuba bunuh Trump

Lelaki yang dituduh melepaskan tembakan di majlis jamuan malam di Washington yang dihadiri oleh Donald Trump didakwa pada Isnin (27 Apr) dengan tuduhan cuba membunuh presiden Amerika Syarikat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek kejadian tembakan di Washington didakwa cuba bunuh Trump

Lukisan mahkamah ini menunjukkan Cole Tomas Allen (kiri), lelaki dari California yang ditahan berhubung insiden tembakan di majlis makan malam wartawan di Washington, ketika hadir di hadapan Hakim Majistret Matthew J Sharbaugh di mahkamah persekutuan pada 27 April 2026, di Washington. (Gambar: AP/Dana Verkouteren)

Diterbitkan : 28 Apr 2026 07:41AM
WASHINGTON: Lelaki yang dituduh melepaskan tembakan di majlis jamuan malam di Washington yang dihadiri oleh Donald Trump didakwa pada Isnin (27 Apr) dengan tuduhan cuba membunuh presiden Amerika Syarikat itu.

Cole Tomas Allen, 31 tahun, dari Torrance, California, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika disabit kesalahan.

Allen memakai kemeja leher-V berwarna biru semasa penampilan pertamanya di mahkamah persekutuan Washington, dua hari selepas pihak berkuasa berkata mereka berjaya menggagalkan serangan di Majlis Jamuan Malam Persatuan Wartawan Rumah Putih, perhimpunan tahunan wartawan dan ahli politik.

Tangan Allen digari di belakangnya sedang Marsyal Amerika Syarikat membawanya masuk dan keluar dari bilik mahkamah.

Semasa perbicaraan itu, pendakwa raya Jocelyn Ballantine berkata senjata yang dibawa Allen ke Washington termasuk senapang patah dan tiga bilah pisau.

"Dia cuba membunuh Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump," kata Cik Ballantine.

SUSPEK DIPERINTAH DITAHAN

Allen juga menghadapi tuduhan membawa senjata api secara haram merentasi sempadan wilayah dan melepaskan tembakan untuk melakukan jenayah keganasan, kata Hakim Majistret Matthew Sharbaugh semasa perbicaraan di mahkamah.

Allen tidak memberi respons terhadap dakwaan tersebut semasa perbicaraan ringkas itu. Dia berkata dia mempunyai ijazah sarjana dalam sains komputer.

Peguam bela Allen, Tezira Abe berkata semasa perbicaraan itu bahawa Allen tidak mempunyai sebarang kes penangkapan atau sabitan sebelum ini.

Hakim Sharbaugh mengarahkan Allen ditahan sehingga sekurang-kurangnya Khamis (30 Apr), apabila beliau menjadualkan perbicaraan mahkamah berasingan untuk menimbangkan permintaan pendakwa raya agar dia ditahan sementara menunggu perbicaraan.

Insiden itu merupakan satu lagi peringatan terhadap keganasan politik yang semakin meningkat di Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Aktivis politik konservatif Charlie Kirk ditembak mati di satu perhimpunan pada September lalu, beberapa bulan selepas pembunuhan Wakil Wilayah Minnesota Melissa Hortman dari Democrat dan suaminya pada Jun 2025. Melissa Hortman dan suaminya pada Jun 2025.

"Keganasan tidak mempunyai tempat dalam kehidupan masyarakat awam," kata Pemangku Peguam Negara Todd Blanche kepada para wartawan selepas perbicaraan. "Ia tidak boleh dan tidak akan digunakan untuk menggugat institusi demokrasi, dan ia pastinya tidak boleh terus digunakan terhadap Presiden Amerika Syarikat."

Encik Trump menghadapi dua percubaan membunuhnya sebelum ini semasa kempen Pilihan Raya Presiden pada 2024.

Jeanine Pirro, pendakwa raya persekutuan tertinggi di Washington, memberitahu para wartawan bahawa tuduhan tambahan akan dikenakan terhadap Allen.
Sumber : Reuters/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita