Skip to main content

Dunia

Suspek kejadian tembakan di universiti Virginia penyokong ISIS: FBI

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek kejadian tembakan di universiti Virginia penyokong ISIS: FBI
Polis sekat jalan masuk selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di Universiti Old Dominion di Norfolk, Amerika Syarikat, pada 12 Mac 2026. (Gambar: Reuters)
 
Diterbitkan : 13 Mar 2026 06:21PM
WASHINGTON: Seorang bekas anggota Pengawal Negara Amerika Syarikat yang menembak mati seorang lelaki di sebuah universiti di wilayah Virginia, sebelum ini dipenjarakan kerana cuba membantu kumpulan ISIS, kata pihak berkuasa pada Khamis (12 Mac).

Penyerang itu meninggal dunia dalam insiden pada Khamis, yang mencederakan dua orang lain, di kampus Universiti Old Dominion di selatan ibu negara Amerika Syarikat, Washington.

FBI menyatakan ia sedang menyiasat kejadian tembakan itu sebagai "tindakan pengganasan".

Pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai Mohamed Bailor Jalloh, bekas anggota Pengawal Negara yang mengaku bersalah pada 2016 kerana cuba memberikan sokongan kepada kumpulan ISIS.

Suspek kejadian tembakan itu maut selepas sekumpulan pelajar campur tangan dan menundukkan suspek itu, menurut Pengarah FBI Kash Patel dalam kenyataannya di X.

"FBI kini sedang menyiasat kejadian tembakan itu sebagai tindakan pengganasan."

Jalloh dijatuhi hukuman penjara pada 2017 dan dibebaskan pada 2024.

Suspek "mahu melakukan serangan pengganas, serupa dengan yang berlaku di Fort Hood, Texas", kata Ejen Khas Dominique Evans dari pejabat lapangan Norfolk FBI, sambil merujuk kepada kejadian tembakan beramai-ramai pada 2009 yang dilakukan oleh pakar psikiatri Tentera Amerika Syarikat yang membunuh 13 orang dan mencederakan lebih 30 orang lain.

Penyerang itu, Nidal Hasan, dilaporkan menunjukkan tanda-tanda radikalisasi.

Ketiga-tiga mangsa tembakan itu adalah ahli ROTC, iaitu Kor Latihan Pegawai Simpanan yang berpangkalan di kolej yang melatih pelajar untuk menjadi pegawai bertauliah dalam tentera Amerika Syarikat.

Gabenor Virginia Abigail Spanberger mengenal pasti mangsa yang meninggal dunia sebagai Leftenan Kolonel Brandon Shah. Beliau berkata Shah adalah seorang jurulatih ROTC.

Encik Evans tidak menyatakan sama ada mangsa disasarkan kerana mereka adalah sebahagian daripada ROTC, tetapi memuji pelajar atas tindak balas pantas mereka.

Universiti Old Dominion menyatakan bahawa polis dan kakitangan kecemasan "bertindak segera" terhadap serangan itu dan "lelaki bersenjata itu kini sudah meninggal dunia".

 
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita