Suspek ditangkap selepas serangan ke atas paderi di luar gereja Perancis
Seorang paderi Ortodoks Yunani parah ditembak dengan senapang di luar sebuah gereja di bandar Lyon, Perancis pada Sabtu (31 Okt).
(Gambar: AFP)
LYON: Seorang paderi Ortodoks Yunani parah ditembak dengan senapang di luar sebuah gereja di bandar Lyon, Perancis pada Sabtu (31 Okt).
Kejadian itu berlaku ketika negara tersebut masih bergelut dengan serangan maut di gereja beberapa hari lalu.
Sumber polis yang enggan dikenali berkata, mangsa, Nikolaos Kakavelaki, 52, diserang ketika sedang menutup gereja di Lyon pada tengah hari dan mengalami kecederaan serius.
Penyerang itu kemudiannya melarikan diri, namun pendakwa raya Lyon, Nicolas Jacquet mengesahkan suspek sudah ditahan.
Berdasarkan maklumat dari sumber siasatan, mangsa ditembak dua kali di dada pada jarak dekat namun motif serangan masih belum diketahui.
Encik Jacquet berkata, suspek tidak membawa sebarang senjata ketika ditahan polis.
"Seseorang yang mempunyai ciri bertepatan dengan keterangan diberikan saksi awal berada dalam tahanan polis.
"Pada peringkat ini, tiada hipotesis yang boleh dikaitkan dengan insiden ini, " katanya.
Sementara itu, pejabat pendakwa raya Lyon dalam satu kenyataan berkata, saksi dan seorang peronda polis yang melalui kawasan itu mendengar tembakan sebelum melihat suspek melarikan diri.
Katanya, mereka kemudiannya melihat lelaki dengan kesan tembakan di pintu belakang gereja.
Pihak pendakwaan berkata, siasatan sudah dimulakan polis bersama pihak pendakwaan anti-pengganas nasional.
Kejadian tembakan pada Sabtu berlaku selepas seorang penyerang yang membawa pisau membunuh tiga orang dalam sebuah gereja di Nice, selatan Perancis pada Khamis.
Seorang guru pula dipenggal kepalanya awal bulan ini.
Kejadian itu berlaku selepas penerbitan semula kartun Nabi Muhammad oleh majalah satira Charile Hebdo.
Dalam apa yang dilihat sebagai percubaan untuk mendekati umat Islam, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata beliau memahami jika umat Islam 'terkejut' dengan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad.
Beliau menyelar "pembohongan" bahawa pemerintah Perancis mendalangi karikatur tersebut dan berkata beliau akan "sentiasa mempertahankan hak kebebasan bersuara, menulis, berfikir dan melukis di negara saya".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.