Skip to main content

Dunia

Suspek dalam kes cubaan bunuh Trump mengaku tidak bersalah

Suspek kejadian tembakan Majlis Makan Malam Koresponden Rumah Putih pada Isnin (11 Mei) mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan persekutuan berkaitan insiden itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek dalam kes cubaan bunuh Trump mengaku tidak bersalah

Pegawai penguatkuasa undang-undang menahan Cole Tomas Allen, suspek dalam kejadian tembakan di jamuan makan Rumah Putih di Washington pada 25 April 2026. (Gambar fail: Donald Trump via Truth Social/Handout via Reuters)

Diterbitkan : 12 May 2026 08:04AM Dikemas Kini : 12 May 2026 10:00AM
  • Cole Tomas Allen mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan membunuh Presiden Donald Trump dan kesalahan senjata api selepas insiden tembakan pada majlis makan malam Koresponden Rumah Putih di Washington DC.
  • Insiden berlaku pada April di sebuah hotel, melibatkan kehadiran wartawan, pegawai pemerintah dan tokoh politik.
  • Peguam Allen memohon agar beberapa pegawai kanan Jabatan Keadilan, termasuk Jeanine Pirro dan Todd Blanche, dikecualikan daripada mengendalikan pendakwaan kerana mereka mungkin saksi atau mangsa.
  • Jabatan Keadilan perlu memberi maklum balas sebelum 22 Jun, dengan pendengaran seterusnya dijadualkan pada 29 Jun.
Dijana oleh AI
HAMILTON: Suspek kejadian tembakan Majlis Makan Malam Koresponden Rumah Putih pada Isnin (11 Mei) mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan persekutuan berkaitan insiden itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media Amerika Syarikat.

Cole Tomas Allen hadir di mahkamah persekutuan di Washington DC, apabila peguamnya mengemukakan pengakuan itu bagi tuduhan termasuk cubaan membunuh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menyerang pegawai persekutuan, dan kesalahan berkaitan senjata api.

Allen ditangkap menyusuli insiden tembakan pada April di sebuah hotel semasa Majlis Makan Malam tahunan Koresponden Rumah Putih yang dihadiri oleh wartawan, pegawai pemerintah, dan tokoh politik.

Menurut laporan, pasukan undang-undang Allen sedang berusaha untuk membatalkan kelayakan beberapa pegawai kanan Jabatan Keadilan daripada menyelia pendakwaan, termasuk Peguam Amerika Syarikat Jeanine Pirro dan Peguam Negara Todd Blanche.

Peguam bela berhujah bahawa pegawai tersebut mungkin menjadi saksi atau mangsa berpotensi kerana mereka menghadiri majlis tersebut dan kemudiannya membincangkan mengenai tembakan itu secara terbuka.

Jabatan Keadilan mempunyai masa sehingga 22 Jun untuk memberi maklum balas terhadap usul yang difailkan oleh peguam Allen, dan pendengaran seterusnya dalam kes itu dijadualkan pada 29 Jun.
Sumber : Bernama/IM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita