Skip to main content

Dunia

Suruhanjaya Siasatan Diraja Malaysia serah laporan terkini kes Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge kepada Agong

Anggaran Waktu Membaca:
Suruhanjaya Siasatan Diraja Malaysia serah laporan terkini kes Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge kepada Agong

Pedra Branca. (Gambar fail: TODAY)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dipersembahkan laporan terkini Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, laporan itu dipersembahkan oleh Pengerusi RCI Md Raus Sharif kepada Agong di Istana Negara pada Selasa (18 Jun) dalam sesi yang berlangsung hampir sejam.

Pada Februari lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan suruhanjaya tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pedra Branca manakala Middle Rocks yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik South Ledge, kira-kira empat kilometer dari Pedra Branca, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 2 Feb 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ (23 Mei 2008) namun pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 27 Feb lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata penubuhan RCI itu adalah bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara dan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Cik Azalina berkata rakyat Malaysia, khususnya rakyat negeri Johor, wajar diberikan penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran kes kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge di ICJ.

Pada 12 Jun lalu, Dr Mahathir memberikan keterangan pada prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita