Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suruhanjaya Siasatan Diraja Malaysia saran siasatan jenayah terhadap Mahathir berhubung Pedra Branca

Anggaran Waktu Membaca:
Suruhanjaya Siasatan Diraja Malaysia saran siasatan jenayah terhadap Mahathir berhubung Pedra Branca

(Gambar fail: Yuichi YAMAZAKI / AFP)

Diterbitkan : 05 Dec 2024 06:09PM Dikemas Kini : 05 Dec 2024 06:14PM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Pedra Branca mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Prosiding itu diusulkan selepas kedaulatan Pedra Branca diberikan kepada Singapura.

Ini selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Tindakan berkenaan merupakan antara disyorkan RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis (5 Dis).

Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

"Suruhanjaya mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan," menurut laporan itu.

Laporan itu turut mendedahkan, tindakan Peguam Cara Negara yang memaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia tidak berhasrat meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge bukan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri.

Menurutnya lagi, keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah berdasarkan surat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek.

Keterangan yang didapati Suruhanjaya juga menunjukkan keputusan berkenaan disampaikan kepada Singapura pada pagi 23 Mei 2018, sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri bermula pada pukul 9.30 pagi.

"Surat Peguam Cara Negara tidak menyatakan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan adalah keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana yang dinyatakan Tun Dr Mahathir.

"Adalah juga diperhatikan bahawa Tun Dr Mahathir tidak mempertikaikan dan/atau menafikan mahu pun membetulkan kandungan surat Peguam Cara Negara itu bagi memperjelas bahawa surat beliau bertarikh 21 Mei 2018 hanyalah satu pendapat semata-mata dan bukanlah keputusan atau arahan.

"Dengan alasan-alasan itu, Suruhanjaya tidak dapat menerima dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa surat bertarikh 21 Mei 2018 supaya Malaysia tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah suatu pendapat beliau semata-mata sebaliknya surat tersebut adalah suatu keputusan," menurutnya.

Sebagai rekod, pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak ke atas Pedra Branca, manakala Middle Rocks yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik South Ledge, kira-kira empat kilometer (km) dari Pedra Branca, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Pedra Branca kepada Singapura.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan