Skip to main content

Dunia

Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia komited sokong RTS Link menerusi penyediaan prasarana yang kukuh

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memberikan sokongan penuh kepada Projek Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS Link) menerusi penyediaan prasarana komunikasi digital yang kukuh bagi memastikan operasi rangkaian rel rentas sempadan itu berjalan lancar.

Anggaran Waktu Membaca:
Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia komited sokong RTS Link menerusi penyediaan prasarana yang kukuh

Sistem telekomunikasi yang kukuh serta kerjasama berkesan antara pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dan operasi RTS Link, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 11 Jun 2026 07:40AM
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memberikan sokongan penuh kepada Projek Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS Link) menerusi penyediaan prasarana komunikasi digital yang kukuh bagi memastikan operasi rangkaian rel rentas sempadan itu berjalan lancar.

Menurut satu catatan di Facebook rasmi RTS Link JB-SG, Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya menegaskan sistem telekomunikasi yang kukuh serta kerjasama berkesan antara pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dan operasi RTS Link pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja delegasi MCMC ke tapak projek RTS Link di Stesen Bukit Chagar dan Bangunan Sultan Ibrahim pada Rabu (10 Jun) untuk meninjau sendiri kemajuan serta perkembangan terkini projek berkenaan.

Delegasi MCMC disambut oleh Pengarah Projek RTS Link bagi Perkhidmatan Elektrikal, Mekanikal dan Bangunan (EMBS) Ardy Suhaidy, serta Ketua Kesihatan, Alam Sekitar, Keselamatan dan Sekuriti (CHESS), Syahmarul Zulaihan Marlap.

Lawatan kerja itu dimulakan dengan taklimat menyeluruh berhubung projek di Pusat Maklumat Projek (PIC) di Menara JLand, termasuk perkembangan terkini mengenai kemajuan dan pencapaian utama projek sistem rel tersebut.

Selepas sesi taklimat, delegasi MCMC dibawa melawat ke tapak projek di Stesen Bukit Chagar dan kompleks Bangunan Sultan Ibrahim.

Dalam lawatan tersebut, mereka diberi penerangan mengenai kemudahan utama yang disediakan, termasuk dewan pemeriksaan penumpang, bilik kawalan operasi, sistem “autogate”, kawasan pemeriksaan bagasi serta ruang pejabat yang akan menempatkan pelbagai agensi di kompleks berkenaan.

Projek RTS Link kekal berada di landasan yang tepat untuk meningkatkan hubungan rentas sempadan, mempertingkat kecekapan perjalanan harian serta mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura menerusi sistem pengangkutan rel yang selamat, dipercayai dan mampan.

Ketika ini, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari merentasi Koswe untuk bekerja di Singapura.

RTS Link yang dijadual memulakan operasi pada Januari 2027, dijangka berupaya membawa hingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura dalam masa kira-kira lima minit.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita